Projek infrastruktur ambil masa, Abang Jo

KOTA SAMARAHAN, 13 Jan: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meminta penduduk luar bandar Sarawak bersabar dengan perlaksanaan projek pembekalan air bersih ke penempatan mereka yang sudah diumumkannya.

"Beri saya masa, ia mengambil masa, tidak boleh segera. Adalah orang tukang sihir ini buat facebook, (mengatakan) Abang Jo cakap sahaja, apapun tidak ada. 

Memanglah (kerana) mengambil masa,"katanya ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang, Jaga Sarawak. Intu Sarawak di dataran terbuka bersebelahan Dewan Suarah Samarahan, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata beliau juga tidak ada ilmu sihir atau silap mata yang boleh segera mewujudkan saluran paip dan membekalkan air bersih kepada penduduk negeri ini seperti diminta pihak pembangkang yang juga ada memarahinya.

"Saya bukan (ahli silap mata) David Copperfield, ambil masa, asalkan duitnya ada. Syukur Sarawak ada duit,"katanya.

Namun beliau menjelaskan penyediaan bekalan air bersih terbabit bukan hanya membabitkan kerja pemasangan saluran paip malahan juga perlu mencari sumber air bagi dirawat dan dibekalkan melalui saluran paip terbabit.

"Kita mesti cari (sumber air) dan ada cara kita merawat air mengunakan teknologi baharu termasuklah bagi kamu di sini (Kota Samarahan), termasuk juga Simunjan, hinggalah ke Kabong dan Sebuyau yang akan kita naiktaraf,"katanya.

Abang Johari berkata selain bekalan air bersih dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dari 2020 hingga 2025, kerajaan Sarawak juga akan terus membekalkan elektrik, membina jalan raya dan jambatan di kawasan luar bandar Sarawak.

"Kita juga akan terus menyukat tanah termasuk NCR (Hak Adat Bumiputera). Kita sukat, apa yang nak direbut dengan tanah, tidak ada kerajaan mahu mengambil tanah,"katanya.

Berikutan itu, beliau meminta penduduk negeri ini termasuk pemilik tanah NCR berusaha membangunkan tanah mereka dengan kegiatan pertanian moden dan tidak menjual tanah itu.
tamat

Keterangan gambar:

1.Abang Johari Tun Openg ( empat dari kiri) memukul gendang bersama tetamu kehormat lain sebagai simbolik merasmikan Program Sarawakku Sayang, Jaga Sarawak. Intu Sarawak di dataran terbuka bersebelahan Dewan Suarah Samarahan, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel