Pusat CPPC durian Tarat nampak hasil
KUCHING: Hampir sebulan selepas beroperasi, pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan (CPPC) durian di Tarat dekat sini sudahpun menunjukkan potensi baik untuk menghasilkan produk-produk untuk dieksport.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata beliau yakin produk-produk CPPC akan mendapat respons yang amat memberangsangkan, susulan permintaan yang tinggi untuk produk ‘raja buah’ itu terutama dari China, dan kemudahan di pusat itu pula akan terus ditambah baik.
“CPPC Tarat akan dinaik taraf bagi membolehkan ia mendapat persijilan kualiti antarbangsa seperti Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP) dan sebagainya," katanya semasa berucap merasmikan majlis prapelancaran pusat berharga RM5 juta itu.
Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat, dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata sejak beroperasi pada 30 Dis, pusat itu membantu para petani memperoleh pendapat sampingan untuk sesetengah hasil tanaman mereka, yang sebelum ini dibuang begitu sahaja kerana ketiadaan pembeli.
Beliau berkata sekurang-kurangnya lapan lagi CPPC akan ditubuhkan dalam negeri bagi memproses durian dan juga lain-lain buah-buahan tempatan. - Bernama