Rampas mercun dalam stor sewa
BUKIT KAYU HITAM: Anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam menahan seorang lelaki dan merampas 43 kotak mercun serta bunga api pelbagai jenis bernilai kira-kira RM25,000 dalam satu serbuan di sebuah stor di Taman Bahagia, Jitra dekat sini, semalam.
Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, ASP Mohd Khairi Abdullah berkata lelaki tempatan berusia 27 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas pemeriksaan dalam premis itu menemukan mercun dan bunga api yang disusun di atas rak premis.
Beliau berkata mercun dan bunga api yang dirampas itu dipercayai diseludup sedikit demi sedikit sejak tahun lepas, agar tidak dapat dikesan pihak berkuasa, dan suspek dikatakan akan menjualnya ketika menjelang musim perayaan bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
“Bayangkan dia keluarkan modal RM25,000 itu, tetapi apabila dijual dalam pasaran tempatan, jualannya hampir mencecah RM100,000, itulah sebabnya dia sanggup melakukannya walaupun tahu risiko yang dihadapi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Khairi berkata rampasan itu adalah yang pertama dilakukan pihaknya tahun ini melibatkan cukai RM31,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala semua mercun dan bunga api itu kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA