Pusat Jantung Sarawak catat rekod lagi


KOTA SAMARAHAN 15 Jan: Pusat Jantung Sarawak (PJS) kini menjadi hospital di luar negara China yang pertama di rantau Asia memiliki peralatan canggih Wire-Free Fractional Flow Reverse System (wf-FFR) bagi merawat pesakit jantung.

Ini selepas seunit peralatan buatan syarikat dari China terbabit bernilai RM199,800 telah disumbangkan Yayasan Jantung Sarawak (YJS) kepada PSJ di satu majlis di pusat terbabit di sini, hari ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YJS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu telah secara rasminya menyerahkan peralatan itu kepada Pengarah PJS, Dr Mohd Asri Riffin.


Majlis penyerahan terbabit juga disaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian dan Juruperunding Kardiologi Jabatan Kardiologi PJS, Professor Dr Alan Fong Yean Yip.

Jamilah Anu berkata wf-FFR digunakan untuk menilai seteruk mana sumbatan pada arteri koronari jantung dan mesin terbabit boleh digunakan PJS bagi merawat sehingga 400 pesakit jantung setahun.

"PJS telah menulis kepada yayasan ini bagi bantuan kewangan (memperolehi wf-FFR) tahun lepas dan pihak kami telah sentiasa bekerjasama rapat dengan pusat ini dalam menaiktaraf kemudahan dan peralatannya,"katanya.

Beliau berkata dengan penajaan peralatan itu, jumlah keseluruhan peralatan perubatan yang telah disumbangkan yayasan terbabit kepada PJS sejak 2011 sudah mencecah RM2.66 juta.

Sementara itu, Professor Dr Alan Fong Yean Yip menjelaskan peralatan wf-FFR terbabit akan membolehkan pihaknya menilai lebih tepat tahap kerosakkan pada arteri koronari jantung pesakit.

Katanya ini kerana pesakit tidak perlu dibedah dan hanya perlu mengambil ubat sahaja sekiranya tahap kerosakan terbabit dipastikan tidaklah serius mengunakan peralatan itu.
tamat

keterangan gambar:

1.Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu (empat dari kanan) menyerahkan peralatan canggih wf-FFR bagi merawat pesakit jantung kepada Dr Mohd Asri Riffin (empat dari kiri) di PJS, di sini, hari ini.

2.Peralatan canggih wf-FFR bagi merawat pesakit jantung keluaran syarikat dari China.
LihatTutupKomentar
Cancel