Rampas 530kg ketum dalam kebun getah

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) merampas 530 kilogram daun ketum bernilai RM26,000 dalam serbuan di kawasan kebun getah Kampung Padang Durian dekat Pendang, petang semalam.

Komandernya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, operasi kira-kira 6.30 petang itu berdasarkan maklumat awam dan risikan berhubung aktiviti pembungkusan daun ketum di sebuah pondok kawasan kebun getah berkenaan.

Katanya, sebanyak 55 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum dibaluti plastik lutsinar ditemui di sekitar pondok serta di bahagian muatan lori pikap Siam yang terdapat di situ.

“Waktu anggota sampai, kumpulan berkenaan sempat melarikan diri sebelum habiskan pembungkusan daun ketum, sebanyak 30 bungkusan plastik hitam ditemui di kawasan pondok dan 25 bungkusan diletakkan di bahagian belakang lori berkenaan.

“Kesemua daun ketum yang dirampas itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran melalui pantai timur kerana merasakan lebih selamat daripada Bukit kayu Hitam yang memiliki kompleks yang canggih,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Latif berkata, permintaan yang sering meningkat serta harganya yang berlipat kali ganda di Thailand menyebabkan ketum sering diseludup ke sana.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (1) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau empat tahun penjara.

Sementara itu, pihaknya akan terus memperketat kawalan dan pemeriksaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api sempena Tahun Baharu Cina.

 “Setakat ini, belum ada laporan diterima, namun kita sentiasa peka dengan persekitaran dan mempertingkatkan risikan bagi menyekat kemasukan mercun dan bunga api menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel