Rombakan Kabinet bukan mudah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata rombakan Kabinet bukanlah tugas yang mudah kerana ia mengambil masa dan perlu diterima oleh semua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Rombakan bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia perlu diterima bukan sahaja saya, tetapi juga (empat) parti dalam gabungan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Integriti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) 2020 di sini, hari ini.

Menjawab soalan pemberita mengenai pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu bagi menggantikan Dr Maszlee Malik, yang meletakkan jawatan awal bulan ini, Dr Mahathir berkata beliau belum lagi membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Saya belum memutuskan apa-apa.” kata Perdana Menteri, yang dilantik bagi memangku jawatan Menteri Pendidikan, yang dipersetujui oleh Kabinet semasa satu mesyuarat pada 8 Jan. 

Sementara itu, mengenai peralihan kuasa antara beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata perkara itu perlu diputuskan oleh kesemua empat parti dalam PH.

“Saya fikir ini akan diputuskan oleh semua empat parti secara bersama, sama ada mereka mahu saya berundur atau tidak. Bagi saya, jika mereka mahu saya berundur sekarang, saya akan undur sekarang,” tambah beliau.

Adalah dilaporkan bahawa beberapa ahli Parlimen PKR mendesak agar satu tarikh ditetapkan bagi peralihan kuasa itu, dengan mencadangkan ia dilakukan pada Mei tahun ini. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel