200kg sosej dirampas pintu sempadan


IPOH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak merampas 200 kilogram (kg) produk sosej yang dibawa masuk tanpa permit import sah dari Thailand dalam operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu di Gerik, semalam.

Pengarahnya, Rozita Superman berkata produk sosej ayam dan lembu yang dianggarkan bernilai RM2,500 itu dirampas daripada  sebuah pacuan empat roda dinaiki sepasang suami isteri di laluan awam sebaik memasuki pintu masuk negara ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua produk sosej yang dibawa masuk ke negara ini untuk dijual di pasaran tempatan.

"Kesemua barangan berkenaan dirampas kerana tidak memiliki dokumen yang sah seperti permit import dan sijil kesihatan yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rozita berkata perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah daripada MAQIS merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.  

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, MAQIS Perak memandang serius masalah berkenaan dan tindakan penguatkuasaan di pintu masuk negara akan terus diperketatkan bagi menjamin keselamatan produk pertanian serta makanan kepada rakyat terus terpelihara.  - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel