Kekang pencerobohan bot nelayan asing

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), akan menjadikan persidangan 7th Commander's Forum On South East Asia Maritime Law Enforcement Initiative (SEAMLEI) yang berlangsung selama tiga hari di sini sebagai platform bagi membolehkan negara-negara yang mengambil bahagian memahami dengan lebih mendalam mengenai pelaksanaan Ops Naga.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata Ops Naga yang dilaksanakan Maritim Malaysia memerlukan sokongan serta kerjasama padu pihak berkuasa maritim negara-negara jiran untuk mengekang sepenuhnya pencerobohan bot nelayan asing.

"Kita akan beritahu masalah yang kita hadapi dalam menangani kes-kes pencerobohan bot nelayan asing, khususnya dari negara-negara berisiko," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian persidangan itu oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, hari ini. 

Forum bagi mengukuhkan jaringan kerjasama strategik dalam perkongsian maklumat, keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim serantau itu disertai oleh agensi penguatkuasaan maritim dari Thailand, Indonesia, Vietnam, dan Kemboja.

Mohd Zubil berkata Ops Naga, yang dilaksanakan sejak April tahun lepas, telah berjaya mengekang sebahagian besar aktiviti jenayah tersebut dan berkeyakinan ia boleh dikekang sepenuhnya jika mendapat kerjasama lebih padu daripada pihak berkuasa maritim negara jiran. 

Laporan media sebe.lum ini menyebut 90 peratus kawasan perairan negara telah bebas daripada pencerobohan bot nelayan asing sejak Ops Naga dijalankan, dan sehingga Disember lepas (2019), sebanyak 160 bot nelayan asing telah ditahan di kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

"Publisiti mengenai Ops Naga sudah meluas dan kita akan ketengahkan lagi kali ini supaya mereka lebih faham tugas dan objektif APMM dalam menguatkuasakan operasi itu di perairan negara," kata Mohd Zubil. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel