Minuman keras RM144,151 dirampas


PENAMPANG: Polis Sabah menahan dua lelaki dan merampas 1,114 ’çrate’ pelbagai jenis minuman keras yang dianggar bernilai kira-kira RM144,151 iaitu harga selepas cukai dalam serbuan di sebuah kawasan tanah lapang di Jalan Lembaga Air Kasigui, dekat sini Sabtu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kedua-dua lelaki berumur 20 dan 36 tahun itu ditahan semasa sedang memindahkan minuman keras berkenaan daripada sebuah lori ke satu lagi lori berasingan.

“Sebelum serbuan, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan pemantauan terhadap kegiatan berkenaan selama satu minggu dan lori itu dipercayai berada di kawasan berkenaan sejak sebulan lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu di Sandakan, polis melupuskan 19,700 pelbagai jenis barang kes yang dirampas sejak 2003 yang telah selesai melalui proses mahkamah, antaranya cakera padat video (VCD) serta cakera video digital (DVD) bernilai kira-kira RM95,000, dan beberapa set komputer bernilai sekitar RM63,000.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata barang kes yang dilupuskan hari ini melibatkan 31 kes di bawah Seksyen 18 (4) (a) dan (b) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, serta 37 kes di bawah Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Sebanyak 19,063 VCD dan DVD pelbagai tajuk dirampas sejak 2003 hingga 2018, dan 637 set komputer yang digunakan dalam pelbagai kes judi dirampas sejak 2008 hingga 2014," katanya kepada pemberita selepas berakhir majlis pelupusan barang kes berkenaan di sini.

Beliau juga berkata cara pelupusan barang kes adalah mengikut prosedur dan nasihat Jabatan Alam Sekitar. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel