Sarawak cadang tunda penerbangan terus ke China

KUCHING, 26 Jan: Kerajaan Sarawak bercadang menunda kerjasama dengan syarikat penerbangan Hainan Airlines bagi memulakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini ke Haikou di China.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian berikutan masalah wabak Novel coronavirus (nCov) yang sedang melanda negara terbabit ketika ini.

"Kita akan melihat samada put on hold sekejap perkara ini (penerbangan terus LTAK ke Haikou, China) atau menandatangani perjanjian penuh dengan Hainan Airlines dan melihat apa yang berlaku dalam jangka masa terdekat,"katanya ketika mengikuti Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengunjungi rumah Datuk Richard Wee sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Jalan Taman Liong Seng di sini, hari ini.

Abdul Karim penerbangan terus itu dijangka bermula April atau Mei depan dan beliau dijadualkan ke Hainan, China Febuari depan bagi menandatangan perjanjian memulakan penerbangan itu dengan Hainan Airlines.

Beliau berkata cadangan penundaan terbabit adalah kerana pihaknya mendapati rakyat Sarawak di media sosial mahukan kemasukan rakyat China ke negeri ini disekat manakala rakyat negeri ini pula diminta tidak berkunjung ke negara terbabit berikutan wabak itu.

Sementara itu, samada Sarawak akan mengunakan kuasa autonomi imigresennya bagi menghalang kemasukan rakyat China ke negeri ini, Abdul Karim berkata itu akan hanya digunakan sekiranya keadaan wabak virus terbabit di negara itu menjadi lebih buruk lagi.

"Kita akan lakukan seperti itu sekiranya coronavirus merebak dengan cepat dan keadaan menjadi lebih kronik. Tetapi untuk sementara waktu ini saya rasa belum perlu lagi,"katanya.

Abdul Karim berkata ini kerana pihaknya tidak mahu sewenangnya mengunakan kuasa autonomi imigresen Sarawak terbabit kerana boleh menimbulkan rasa cemas dan ketegangan dikalangan orang ramai.
tamat

keterangan gambar: 

1. Abdul Karim Rahman Hamzah ( kiri) ketika mengikuti Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengunjungi rumah Datuk Richard Wee ( kanan) sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Jalan Taman Liong Seng di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel