S'wak tidak layan isu remeh temeh
KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak berminat untuk melayan isu-isu kecil seperti pengajaran dan pembelajaran kaligrafi jawi di sekolah tetapi sebaliknya akan lebih memberi tumpuan menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg berkata, isu tersebut terlalu remeh dan Sarawak tidak mahu diseret ke dalam isu seperti ini.
“Kenapa kita harus diseret ke isu kecil ini?. Pada saya isu ini amat remeh temeh. Perhatian utama kita adalah isu kenaikan kos sara hidup dan cara untuk membantu rakyat. Kita mesti sedaya upaya untuk memperkukuhkan ekonomi negeri,”
“Apa dipolah orang disinun, apa gago (Kita tidak perlu peduli tentang apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas sempena penstrukturan semula dan transformasi Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Abang Johari menegaskan, ia bergantung kepada ibu bapa tentang apa terbaik untuk anak-anak mereka sama ada memilh untuk belajar jawi atau kaligrafi.
“Jawi atau kaligrafi, kita mempunyai dasar pendidikan kita sendiri. Kita tidak mahu isu-isu kecil ini datang ke Sarawak,” ujarnya.
Mengenai perkara yang sama, Kabinet Negeri Sabah telah memutuskan Jawi akan dijadikan subjek pilihan di sekolah dan tidak termasuk dalam silibus subjek Bahasa Melayu.
Pengajaran jawi hanya disediakan hanya jika pelajar mahu mempelajarinya, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Sabah Ewon Benedick kepada media selepas menghadiri rumah terbuka Krismas pada 28 Disember yang lalu.
Ditanya addaah Sarawak bersiap sedia untuk mengambil tawaran Petronas untuk membeli saham pegangan sahamnya, Abang Johari menjelaskan bahawa walaupun dalam kenyataannya sebelum ini, beliau tidak pernah menyebut bahawa kerajaan sudah bersedia untuk mengambilnya tetapi hanya untuk mengkajinya.
"Mereka (Petronas) hanya bercakap. Kami akan mengkajinya (tawaran itu) terlebih dahulu. Butiran, terutamanya mengenai harga (atau kuantum) tidak disebutkan, " kata Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancang Ekonomi.