TBC ruang eratkan perpaduan
MIRI:Sambutan perayaan rumah terbuka Tahun Baru Cina(TBC) merupakan ruang untuk mengeratkan silaturrahim dan hubungan bersama masyarakat pelbagai kaum khususnya anggota dan wakil badan kerajaan di sekitar Miri.
Setiausaha Pakatan Harapan Sarawak Senator Alan Ling berkata,rumah terbuka tersebut merupakan tanda penghargaan kepada semua ketua jabatan dan kakitangan agensi kerajaan di Miri yang telah memberi kerjasama dan bantuan kepada beliau dalam berkhidmat kepada rakyat.
"Kakitangan kerajaan adalah tulang belakang untuk menyampaikan segala polisi yang baik demi kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat,"katanya.
Seramai kira-kira 1,000 hadirin memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran beliau di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Katanya lagi, beliau berterima kasih kepada penduduk setempat di Miri yang telah memberi sokongan padu kepada beliau dalam menunaikan tanggungjawab dan tugasan selaku Ahli Dewan Negara mewakili Kerajaan Pakatan Harapan di Sarawak.
"Saya berjanji akan terus memainkan peranan penting di Dewan Negara demi kebajikan dan kemakmuran rakyat khususnya masyarakat Sarawak,"ujarnya.
