Tiada lagi buku kompaun kepit ketiak

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu (IEMS) iaitu kaedah kompaun secara 'on the spot'.

Sehubungan itu, tiada lagi kaedah saman secara manual yang menggunakan buku nota yang diamalkan sejak 47 tahun lalu.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembangunan sistem IEMS ini dapat memperkasa dan mempertingkatkan tugas-tugas penguatkuasaan dengan menggunakan teknologi terkini dan meningkatkan produktiviti serta kompetensi pegawai bertugas.

Menurutntya, ia dapat meningkatkan pengurusan penguatkuasaan dengan lebih sistematik, teratur dan menjimatkan masa di mana pelaporan dapat diperolehi dan dikemaskini dalam tempoh 24 jam berbanding sistem lama menggunakan Excel yang mengambil masa 1 hingga 2 minggu.

“Sistem ini dimulakan di enam negeri di mana pegawai-pegawai penguatkuasa tak lagi kepit buku kompuan celah ketiak. Sekarang sudah beg bimbit dan gajet antaranya telefon bimbit, dan sistem yang merekodkan dan boleh cetak sekali.

"Paling penting sekali, penggunaan sistem kompaun digital dapat meningkatkan kebolehpercayaan orang awam dalam menangani persepsi negatif seperti suapan dan imbuhan untuk mengelak dikenakan tindakan ketika melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan," katanya.

Sistem ini akan mula digunakan sepenuhnya di enam negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan dan seterusnya diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.

Saifuddin melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2020, di NSK Trade Center, semalam.
LihatTutupKomentar
Cancel