VM2020, 'kenduri besar' rakyat


KUALA LUMPUR:   Kehadiran Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) ibarat ‘kenduri besar’ buat rakyat negara ini kerana ia hadir dengan limpahan ekonomi bukan sahaja kepada negara malah kepada seluruh rakyatnya, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

Beliau berkata VM2020 adalah agenda nasional yang memerlukan penglibatan semua pihak tidak kira di kota mahupun di luar bandar, sama ada untuk turut sama mempromosikannya atau menyiapkan diri sebagai tuan rumah untuk menyambut ‘tetamu’.

“Malaysia welcomes the world dan sekarang ini kita panggil kempen ini mesra Malaysia, kita nak buat seperti kenduri besar-besaran, yang mana kita nak sambut tetamu, jadi hiasannya kena elok, kita kena bersihkan ‘rumah’ kita supaya elok, kita kena adakan persiapan untuk tetamu dan yang paling penting perkhidmatan kita untuk menyambut mereka.

“Pelancong ini datang ada pengalaman, daripada apa yang dia alami itu menjadi titik tolak untuk dia maklumkan kepada kawan-kawan dia yang belum datang, eh… datanglah ke Malaysia atau jangan datang ke Malaysia,” katanya semasa program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020 baru-baru ini.

Beliau berkata, satu daripada objektif Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya adalah untuk melihat limpahan ekonomi pelancongan bukan sahaja berpusat di bandar tetapi turut dirasai penduduk luar bandar.

Justeru Musa menggalakkan penduduk luar bandar turut mengambil inisiatif mempromosi pelancongan antaranya melalui perkhidmatan inap desa.

“Pada 30 tahun lepas, kita wujudkan ‘homestay’. Homestay ini, contohnya, yang ada di Cameron Highlands (Pahang), pendapatan di kampung itu sahaja lebih daripada RM2 juta setahun, jadi ini kita lihat limpahan ekonomi kepada penduduk,” katanya,

Beliau berkata penglibatan semua pihak akan merealisasikan sasaran kehadiran 30 juta pelancong ke negara ini yang mampu menjana pendapatan sehingga RM100 bilion.

“Kita anggap Visit Malaysia 2020 sebagai kenduri besar kepada rakyat Malaysia, sama-sama kita menyediakan ‘rumah’ kita dengan senyuman, menarik mereka untuk datang dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Mereka (pelancong) datang dan mereka akan ingat ini, “Malaysia I should come again”, sebab rata-rata, 80 peratus orang yang datang ke Malaysia ini dia akan datang lagi, ini melalui kaji selidik kita, mereka akan datang kembali, ini yang kita nak,” katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel