Warga Indonesia pecah cermin kereta
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Polis percaya dapat menyelesaikan kegiatan pecah cermin kereta untuk mencuri barangan berharga sekitar Damansara sejak September lepas dengan tertangkapnya dua lelaki warga Indonesia di Damansara Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata polis turut merampas motosikal suspek dan bungkusan mengandungi palam pencucuh yang digunakan untuk memecahkan cermin kereta.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, suspek masing-masing berusia 30 tahun dan 36 tahun aktif memecah cermin kereta milik orang awam dan mengambil barang-barang berharga di dalamnya.
“Kedua-duanya yang menaiki motosikal bagaimanapun ditahan semasa cuba lari daripada pemeriksaan polis di hadapan Tanah Perkuburan Hindu, Damansara Jaya.
Hasil siasatan lanjut, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes yang sedang disiasat, seterusnya membawa kepada serbuan sebuah rumah dipercayai dihuni suspek.
Polis menemui dua beg laptop, serangkai anak kunci rumah, beg dompet dan beg kotak kaca mata jenama Ray-Ban di rumah itu.
“Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Damansara untuk tindakan selanjutnya sementara soal siasat akan diteruskan selepas perintah reman diperoleh,” katanya.
-- BERNAMA