Pandu macam gila babi, kontraktor ditangkap
KUALA KUBU BHARU, 21 Jan (Bernama) -- Video 'dashcam' berdurasi 26 saat yang merakam trak pikap jenis Ford Ranger dipandu melulu di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban arah pusat bandar sehingga melanggar sebuah motosikal di KM 298.2 membawa kepada penangkapan seorang kontraktor.
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di Shah Alam, dekat sini kira-kira 5 petang Isnin berhubung kejadian langgar lari itu.
Dalam kejadian yang ditularkan di laman sosial, penunggang motosikal itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan di kaki serta kedua-dua belah tangan.
"Saringan air kencing mendapati lelaki itu bebas daripada pengaruh dadah.
"”Suspek ditahan dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Pemohonan reman akan dilakukan hari ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Hulu Selangor di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.41 pagi Ahad lepas, pemandu trak pikap itu telah mengubah haluan secara berbahaya dari lorong kanan hingga masuk ke laluan motosikal dan melanggar bahagian tepi motosikal menyebabkan penunggang jatuh di bahu jalan.
Dalam majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Arsad Kamaruddin dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Hulu Selangor yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Supt Azman Ab Rahman yang bersara wajib mulai hari ini.
Sementara itu, Arsad, 44, berkata beliau akan meneruskan usaha menjaga keamanan dengan meningkatkan pencegahan dan pembanterasan kegiatan jenayah sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Selain memberi tumpuan terhadap usaha membanteras kegiatan pecah rumah dan kecurian motosikal, saya juga akan berusaha menyelesaikan kes-kes lain dalam usaha meningkatkan keyakinan masyarakat kepada pihak polis,” katanya.
-- BERNAMA