1 Billion Dollar Man sokong SKM ditutup


SERIAN: Kerajaan Persekutuan digesa untuk meneruskan cadangan membina 
sekolah berpusat bagi menggabungkan Sekolah Kurang Murid (SKM) di Sarawak.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, cadangan Sarawak untuk membina sekolah berpusat dengan menggabungkan dan menutup sekolah-sekolah yang mempunyai jumlah pelajar yang rendah telah disokong oleh bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan kerajaan sebelumnya.

"Ini adalah kali pertama saya dengar menteri kewangan melibatkan diri dalam pendidikan.

“Cadangan sekolah berpusat ini telah dibantah oleh kementerian kewangan padahal sebelum ini diterima oleh kementerian pendidikan.

"Saya rasa lebih baik beliau fikir bagaimana untuk meningkatkan ekonomi dan dapatkan lebih ramai pelabur daripada cuba untuk masuk campur dalam pendidikan,”

Beliau berkata demikian kepada media sebagai mengulas kenyataan Lim Guan Eng mengenai penolakan cadangan Jabatan Pelajaran untuk menggabungkan SKM sebagai satu sekolah berpusat.

Semalam Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata tiada sekolah akan ditutup untuk digabungkan ke sekolah berpusat malah sekolah-sekolah ini (SKM) akan terus diguna dan dinaik taraf.

Menurut Manyin, semasa perbincangan dengan Maszlee ketika itu sebagai Menteri Pendidikan, Maszlee turut bersetuju dengan konsep sekolah berpusat dimana dapat mengurangkan kos penyelenggaran sekolah disamping meningkatkan akademik pelajar yang lebih baik.

“Sarawak terlalu banyak sekolah kurang murid dan disebabkan itu juga kita digalakkan untuk membina sekolah berpusat. Apabila sekolah terlalu kecil, agak sukar untuk dinaik taraf disebabkan tiada kemudahan yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya sekolah berpusat ini tidak akan menimbulkan isu keciciran pelajar ataupun faktor pengangkutan kerana setiap sekolah berpusat akan diberikan kemudahan asrama.

Katanya, cadangan sekolah berpusat yang dikemukakan adalah antara 37 buah sekolah yang akan dinaik taraf dan dibina semula dengan menggunakan bayaran RM350 juta pertama dibawah perjanjian 
kontra dengan kerajaan persekutuan.
LihatTutupKomentar
Cancel