Selain pembunuh, ada obor obor lazat berkhasiat


Gempar kisah obor-obor pembunuh mendarat di perairan Terengganu


Di Sarawak, obor-obor jadi hidangan lazat punyai banyak khasiat perubatan


ORANG Sarawak mempunyai banyak hidangan unik yang enak dibuat daripada hasil laut.

Umai dikenali juga sebagai sushi tempatan merupakan makanan tradisi kaum Melanau misalnya juga dibuat daripada hasil laut iaitu isi ikan atau udang mentah.

Satu lagi makanan hasil laut terkenal di Bumi Kenyalang ialah obor-obor masin atau dijeruk.

Hanya perlu direndam dalam air sejuk selama sejam untuk membuang rasa masin kemudian dipotong kecil-kecil dan digaul bersama bawang besar, cili padi dan jus limau kasturi, hidangan ini mampu membuat nasi bertambah.

Namun, bercerita tentang obor-obor ini bukan semua obor-obor boleh dimakan kerana ada yang beracun dan bahaya seperti jenis Portuguese man o’ war daripada spesis Physalia Physalis yang dijumpai terdampar Pantai Pulau Kekabu, perairan Terengganu minggu lalu.

Berikutan penemuan obor-obor itu, Jabatan Perikanan Terengganu menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak menyentuh obor-obor jenis ini jika ditemui di pantai.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, ini kerana obor-obor yang telah mati di pantai masih mempunyai bisa. 

"Physalia physalis memiliki sengatan berbisa dan boleh membawa kematian. Ia mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit yang melampau jika terkena pada badan.

"Sehingga kini tiada antivenom untuk merawat bisa disebabkan sengatan obor-obor ini dan hanya rawatan berbentuk ubat penahan sakit serta melegakan simptom yang ada," ujarnya dalam kenyataan media pada Khamis lalu.

Obor-obor Portuguese man o’ war di Pantai Pulau Kekabu itu mula dijumpai oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang ketika menjalani Latihan Penyelamat Pantai.

Pegawai APM Marang, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, mereka diberitahu pelancong Australia yang bersantai di pantai itu berhubung kehadiran obor-obor berkenaan dan 11 bangkai terdampar sepanjang pantai, manakala 10 lagi ditemui masih hidup di dalam air.

Bangkai obor-obor itu telah dibawa ke Pusat Oceanagrafi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk siasatan lanjut.

Di sini, Gagodaily berkongsi beberapa fakta menarik mengenai obor-obor.

Obor-obor merupakan makhluk separa telus ditemui di laut dan dipercayai lebih tua daripada dinosaur.
 
Ia adalah makanan yang popular di kalangan penduduk di Asia,  tetapi kini telah menjadi popular dan meluas di seluruh dunia. 

Obor-obor yang popular di Malaysia ialah jenis merah keperangan dan ia mempunyai rasa tawar dan masin kerana obor-obor ini di awet dalam air garam dan tawas. 

Walaupun ada jenis obor-obor boleh membunuh, namun jenis yang boleh dimakan pula dikenal pasti ada khasiat perubatannya.

Antara khasiat obor-obor ialah :


Mencegah asma

Apabila kanak-kanak mengambilnya secara tetap ia akan kurang terdedah untuk mengalami masalah pernafasan yang berkaitan dengan asma. Kajian menunjukkan bahawa ia juga mempunyai agen perlindungan yang memberikan manfaat yang sihat untuk ibu-ibu yang mengandung .


Mencegah penyakit kardiovaskular

Kajian terkini menunjukkan bahawa individu yang mengambil obor-obor sekurang-kurangnya dua kali seminggu adalah kurang terdedah kepada pembekuan darah. Selain itu, ia bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan darah tinggi tetapi juga melegakan tahap kolestrol yang tinggi pada pesakit yang mempunyai masalah jantung.


Mengurangkan risiko demensia

Apabila orang tua makan obor-obor dua kali seminggu, mereka menjadi kurang terdedah kepada demensia dan penyakit yang berkaitan dengan peningkatan usia. Ia juga mengandungi ciri-ciri pelindung otak.


Keradangan

Obor-obor biasanya digunakan untuk mengurangkan keradangan dalam pesakit yang menghidapi psoriasis dan artritis reumatoid di kalangan penyakit berkaitan dengan radang.


Meningkatkan kesihatan semasa hamil

Ibu-ibu mengandung yang mengambil obor-obor semasa hamil boleh mengurangkan risiko kelahiran pramatang dan membantu meningkatkan kesihatan bayi dalam kandungan.


Diabetes

Pengambilan obor-obor juga membantu mengawal tahap gula dalam pesakit dengan pesakit kencing manis. Selain itu kajian baru-baru ini, menunjukkan bahawa ia meningkatkan mood.

Bagi pengemar obor-obor anda bagaimanapun dinasihatkan makan hidangan ini secara sederhana kerana 
kajian mendapati pengambilan berlebihan obor-obor dikatakan mengalakkan sejenis kanser tertentu. 

LihatTutupKomentar
Cancel