100,000 kenderaan berisiko terjun lubang
KUCHING: Kira-kira 100,000 kenderaan berisiko jatuh lubang besar apabila melalui projek Lebuh Raya Pan Borneo Batu 4/Batu 10 Jalan Kuching-Serian di sini.
Lubang besar di tengah jalan terbabit boleh menyebabkan kemalangan jika kon penghadang tidak dipasang dengan segera.
Terbaru sebuah kenderaan terjun dalam lubang sekitar 2.30 pagi semalam, namun tiada kecederaan serius berlaku.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, sekitar 100,000 kenderaan yang melalui jalan berkenaan setiap hari berisiko berhadapan kemalangan.
"Semalam sekitar jam 2.30 pagi, sebuah kenderaan telah pun terjatuh ke lubang di tengah jalan terbabit, nasib baik tiada kecederaan dilaporkan," katanya selepas bersama kakitangan MPP dan wakil kontraktor melawat lubang besar terbabit di antara Batu 6 sehingga Batu 7 di Kota Sentosa di sini, hari ini.
Lo mahu, pengurus dan kontraktor projek memasang kon penghadang dan papan had laju dengan segera supaya kejadian tidak diingini berlaku
"Sebelum ini tiada kon di sana, kerana kontraktor sedang mengali lubang di tengah jalan terbabit bagi membina asas jalan yang diperbesarkan dan kon itu boleh menganggu kerja mereka," katanya.
Beliau berkata, projek terbabit merangkumi pembesaran laluan jalan dan pembinaan empat jejambat sudah 43 peratus siap dan dijadualkan siap sepenuhnya Ogos 2021 bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di bandaraya ini.