144,000 pelajar nikmati Program Bas Sekolah Percuma


KUCHING, 29 Feb: 144,000 pelajar sekolah akan mendapat faedah daripada Program Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma disediakan kerajaan Sarawak di bandar raya ini April depan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata demikian dengan 32 buah bas terbabit dari Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Bahagian Kuching-Samarahan manakala pelajar terbabit di 32 sekolah sekitar bandar raya ini.

"Sebanyak 18 zon membabitkan sebanyak 21 laluan sudah dikenalpasti bagi memulakan program itu (di bandar raya ini),"katanya ketika menghadiri taklimat Program Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma di Kuching, di Auditorium Yayasan Sarawak, Wisma Adenan, Jalan Sultan Tengah, di sini, hari ini.

Zon itu ialah Pusat bandaraya Kuching, Satok, Matang, Pending, SK Muhibbah, Buntal, Semariang, Jalan Merdeka, Astana, Gita Laut, Taman Lee Ling, Pulau Salak dan Pasir Panjang dan Pasir Pandak, Rampangi, Malihah, Boyan Gersik dan Sourayabaya Ulu, Desa Wira, Tabuan dan Bako.

Lee berkata ada tiga peringkat jam beroperasi perkhidmatan bas sekolah percuma itu iaitu dari jam 5.30 hingga jam 7. 30 pagi, jam 11 pagi sehingga jam 2.30 petang dan jam 5 petang sehingga jam 7 petang.

"Saya memohon kerjasama Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Bahagian Kuching-Samarahan sebagai penyedia perkhidmatan terbabit akan memberikan perkhidmatan yang sebaik-baiknya,"katanya.

Lee berkata ini termasuk memastikan pemandu bas terbabit tidak melalui jalan pintas atau mengubah laluan selain dari laluan asal ditetapkan, meningkatkan tahap keselamatan bas dan pelajar serta memastikan pemandu berhemah di jalan raya.

Katanya pengusaha bas sekolah dari persatuan terbabit akan dibayar mengikut perjalanan bas dengan kadar bayarannya ditentukan persatuan itu dan dibayar dalam tempoh 14 hari sekiranya menyerahkan borang tuntutan pembayaran yang lengkap. 

"Bas sekolah terbabit juga akan dipasang alat pengesan bagi memastikan mereka ada melakukan perjalanan malahan ibu bapa dan guru boleh memuatnaik aplikasi bagi mengesan perjalanan bas terbabit setiap hari,"katanya.

Selain itu, beliau juga meminta kerjasama pihak sekolah bagi membenarkan bas sekolah percuma terbabit memasuki perkarangan sekolah bagi mengambil dan menurunkan pelajar dengan selamat.

Lee berkata selepas permulaan program terbabit April depan, pihaknya kemudian akan memperluaskan perkhidmatan itu ke kawasan lain bandar raya ini dan ke bandar utama lain iaitu Sibu, Bintulu dan Miri.

Katanya program itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November 2019 bagi membantu mengurangkan bebanan keluarga berpendapatan rendah di bandar utama negeri ini.
TAMAT

1. Datuk Lee Kim Shin ( tiga dari kiri) bersama Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Bahagian Kuching-Samarahan, Sawoi Anee (dua dari kiri) dan Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang (tiga dari kanan) menunjukkan pelekat Program Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma kepada wakil selepas menghadiri taklimat program itu di Auditorium Yayasan, Wisma Adenan, Jalan Sultan Tengah, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel