Hornbill eSports Championship 2020 di Riverside Shopping Mall 4 - 5 April 2020
KUCHING, 28 Feb: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mengalukan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion bagi menangani risiko ekonomi akibat penularan wabak COVID-19 yang dilancarkan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata ini kerana pakej terbabit diumumkan tepat pada masanya kerana industri pelancongan negeri ini antara mula menerima kesan penularan wabak itu dan banyak tempahan bilik hotel milik SEDC di bandar raya ini telah dibatalkan pelancong.
"Pendapatan (SEDC) dalam industri hotel dalam suku pertama tahun ini juga dijangkakan akan berkurangan disebabkan berkurangnya kedatangan pelancong dan pembatalan atau penanguhan pelbagai acara persidangan (di bandar raya ini), "katanya selepas mengadakan sidang media Hornbill eSports Championship 2020 anjuran SEDC dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), di sini, hari ini.
Hornbill eSports Championship 2020 akan diadakan di Riverside Shopping Mall di sini dari 4 hingga 5 April depan menawarkan hadiah keseluruhannya sebanyak RM24,000 dan sudah terbuka penyertaanya dalam kategori permainan atas talian PUBG, Mobile Legends, FIFA 2020 dan DOTA 2 serta borang penyertaan boleh diperolehi dari laman sesawang rasmi SEDC Sarawak atau Sarawak Digital Village Ecosystem serta akaun facebook Hornbill eSports Championship 2020.
Aziz Husain berkata ketika ini antara hotel di bandar raya ini dibawah SEDC ialah Riverside Majestic dan Grand Margherita serta Damai Beach Resort di Damai, Santubong.
"Kami memang menerima kesannya (wabak COVID-19) tetapi tidaklah seteruk Sabah, Selangor atau Kuala Lumpur yang menerima ramai pelancong asing terutama dari China," katanya.
Beliau tidak dapat meramalkan anggaran kerugian yang bakal ditangggung SEDC akibat penularan wabak itu dan berikutan itu mengalukan pakej ransangan terbabit yang akan merancakkan semula aktiviti ekonomi negara dan membantu perniagaan dan industri kecil dan sederhana (SME).
Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang ditunjangi oleh tiga strategi di Putra Jaya, semalam.
Tiga strategi itu ialah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
tamat
keterangan gambar:
1.Tan Sri Abdul Aziz Husain (tiga dari kanan) bersama penganjur Hornbill eSports Championship 2020.