Chong merayu sokongan GPS
KUCHING: DAP Sarawak sedia bertolak ansur dan bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak demi kepentingan negara, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.
“DAP Sarawak bersiap sedia untuk bekerjasama dengan GPS demi mengekalkan kerajaan Pakatan Harapan dan menggelakkan ekstrimis dari merampas kuasa dari pintu belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selepas seminggu kemelut politik, kini terpulang kepada dua blok gabungan politik GPS dan Warisan Sabah menentukan kerajaan persekutuan.
“Saya gementar memikirkan gabungan UMNO-PAS menjadi kerajaan persekutuan.”
“Kedua-dua parti itu adalah kombinasi antara kleptokrat dan pelampau agama yang akan memusnahkan negara dan generasi masa depan,” katanya.
Chong menambah, negara berada di persimpangan jalan dan GPS mesti membuat keputusan antara memilih UMNO-PAS atau gabungan progresif PH.
“Saya merayu pemimpin GPS supaya mengetepikan perbezaan politik lampau dan bekerjasama dengan PH untuk menyelamatkan negara kita daripada kehancuran.”
“Bagi pihak DAP Sarawak, kami bersedia membuat konsesi dan mengetepikan perbezaan untuk bekerjasama dengan GPS demi kepentingan negara,” katanya.