2,279 kes kemalangan maut di jalan raya semasa pergi atau balik kerja
KUCHING - 2,279 kes kemalangan maut di jalan raya semasa pergi atau balik kerja telah dilaporkan di seluruh negara tahun lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata dengan kes terbabit berlaku pada waktu pergi kerja antara jam 6 pagi sehingga 10 pagi dan pada waktu balik kerja antara jam 4 petang sehingga 8 malam.
"Kemalangan maut semasa pergi dan pulang dari tempat kerja pula adalah sebanyak 2,279 kes dicatatkan pada tahun 2019, berbanding 2,098 kes itu yang direkodkan bagi tahun 2018.Jumlah ini menunjukkan kenaikan sebanyak 181 kes,"katanya semasa majlis Penutupan Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial ( PERKESO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Bangunan MBKS, Padungan di sini, hari ini.
Ramli berkata kemalangan melibatkan kecederaan parah semasa pergi atau pulang dari tempat kerja adalah sebanyak 1,117 kes tahun lepas dengan 512 kes terbabit pada waktu pergi kerja dan 605 kes pada waktu balik kerja.
"Jumlah ini menunjukkan kenaikan sebanyak 38 kes berbanding 2018,"katanya dan sehubungan itu menasihatkan semua pemandu termasuk warga MBKS dan Dewan Bandaraya Kuching Utara serta pemandu Grab supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum memulakan perjalanan.
Beliau juga meminta pemandu untuk mengelakkan dari tergesa-gesa untuk ke tempat kerja sehingga boleh mengundang musibah yang tidak diingini semasa di jalan raya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PERKESO, Dato Sri Dr Mohammed Azmin Dato Aziz Mohammed berkata bilangan kemalangan pekerja dilaporkan kepada PERKESO adalah sebanyak 79,676 kes seluruh negara tahun lepas dengan 47.9 peratus adalah aklibat kemalangan dalam perjalanan berulang alik ke tempat kerja.
"Kemalangan maut ( pekerja) adalah sebanyak 959 kes (pada 2019) dimana 73.5 peratus adalah akibat kemalangan perjalanan (berulang alik ke tempat kerja),"katanya.
Katanya pada 2018, jumlah kemalangan pekerja adalah sebanyak 72, 631 kes seluruh negara dan kemalangan dalam perjalanan berulang alik ke tempat kerja menyumbang 48.5 peratus.
"Sebanyak 888 kes kemalangan maut (pekerja) dicatatkan pada tahun tersebut dimana 75.1 peratus adalah akibat kemalangan perjalanan (berulang alik ke tempat kerja),"katanya.
Azmin berkata keseluruhannya sebanyak RM729.1 juta perbelanjaan PERKESO tahun lepas untuk kemalangan perjalanan berulang alik ke tempat kerjayang melibatkan kematian, hilang upaya dan kecederaan pekerja dan meningkat berbanding RM688.9 juta pada 2018.
tamat
1. Datuk Ramli Din (tiga dari kanan) dan Dato Sri Dr Mohammed Azmin Dato Aziz Mohammed ( dua dari kanan) memakaikan jaket dan topi keledar kepada orang ramai semasa majlis Penutupan Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial ( PERKESO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Bangunan MBKS, Padungan di sini, hari ini.