26, 731 bayi mendaftar untuk menerima Endowment Fund Sarawak (EFS).
KUCHING, 4 Feb: Sarawak mencatatkan kelahiran seramai 33, 304 bayi anak Sarawak sepanjang 2019 dengan seramai 26, 731 bayi terbabit atau 80.26 peratus telah mendaftar menerima Endowment Fund Sarawak (EFS).
EFS sebanyak RM1,000 seorang bayi anak Sarawak yang lahir dari 1 Januari 2019 dengan wang EFS terbabit dari peruntukan kerajaan Sarawak dan boleh dikeluarkan penerimanya dari bank setelah mencecah usia 18 tahun.
Berdasarkan statistik Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, bahagian Kuching paling ramai bayi anak Sarawak mendaftar menerima EFS tahun lepas iaitu seramai 10, 207 bayi atau 77.18 peratus dari keseluruhan bayi anak Sarawak lahir di bahagian itu.
Ini diikuti Sibu (4,803 bayi/ 84.29 peratus), Miri (3,894 bayi/ 76.23 peratus), Bintulu (1,800 bayi/ 53.57 peratus), Sarikei (1,304 bayi/ 88.17 peratus), Mukah (912 bayi/ 135.71 peratus), Limbang (891 bayi/ 91.38 peratus), Sri Aman (865 bayi/ 99.77 peratus), Serian (552 bayi/90.20 peratus), Betong (549 bayi/ 141.86 peratus), Kapit (478 bayi/ 69.68 peratus) dan Samarahan (466 bayi/209.91 peratus).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi meneruskan EFS tahun ini berbanding tahun lepas sebanyak RM40 juta.
"Tahun ini peruntukkannya (EFS) adalah RM30 juta, sebab dari segi kelahiran anak Sarawak kita dapati (pada 2019) tidak mencapai (pengeluaran EFS sehingga) RM40juta,"katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EFS di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fatimah berkata tahun ini pihaknya akan menambahbaik permohonan EFS dan telah mengesan sebanyak 170 kes anomali tahun lepas bagi diputuskan pada mesyuarat terbabit yang diadakan sekali setiap dua bulan.
Antaranya kes anomali terbabit ialah ibubapa bawah umur tidak boleh membuka trust account,ibubapa bankrap atau disenarai hitam atau mereka ada akaun keldai, ibubapa tidak berkahwin, ibu bapa bukan warganegara, bukan penjaga sah anak, ibubapa meninggal dunia atau anak meninggal dunia.
"Kami ada juga kes ibu bapa cuba memohon EFS bagi bayi mereka yang lahir pada 2015, tapi kami menjelaskan EFS ini adalah bagi anak yang dilahirkan bermula 1 Januari 2019,"katanya.
Selain itu, terdapat juga kes ibubapa membuat sehingga dua atau lima permohonan bagi seorang anak mereka yang sama dan hanya satu permohonan terbabit sahaja yang diterima.
Fatimah berkata Bank Islam yang mempunyai enam cawangan di Sarawak telah dipilih bagi menyimpan wang EFS terbabit kerana menawarkan kadar faedah tertinggi tahun lepas iaitu 4.2 peratus.
tamat
keterangan gambar:
1. Dato Sri Fatimah Abdullah (duduk tiga dari kiri) bersama wakil jabatan dan agensi yang bersama menghadiri mempengerusikan Mesyuarat EFS di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.