31 hari tidur bersama mayat
LONDON: Seorang penyewa yang juga penagih dadah didapati bersalah kerana membunuh tuan rumahnya sebelum menggunakan kad bank milik mangsa.
The Irish World melaporkan,tanpa rasa bersalah, Kristian Smith, 42, turut tinggal bersama mayat tuan rumahnya, Antoinette Donegan, 52, selama sebulan.
Mayat Donegan ditemui pihak polis di rumahnya di Bettersea, di sini, pada Mac tahun lalu iaitu sebulan selepas kematiannya.
Polis memeriksa kediaman itu selepas pegawai kebajikan memberitahu tidak melihat atau dihubungi oleh wanita itu, hampir sebulan.
Polis kemudian menemui mayat mangsa yang busuk di apartmen berkenaan.
Selain itu, terdapat timbunan pakaian meliputi mayat wanita itu di bilik tidur dan ada yang disumbat di bawah pintu untuk mengelak bau mayat yang sudah mereput itu disedari orang lain.
Dalam pada itu, Daily Mail melaporkan Smith sebelum ini mengaku salah atas dakwaan menipu dan menghalang pengebumian mayat mangsa tetapi menafikan membunuh Donegan.
Bagaimanapun, keputusan tidak berpihak kepada Smith apabila 11 juri sebulat suara bersetuju tertuduh bersalah membunuh mangsa.
Ketika perbicaraan, Pendakwa Raya, Louis Mably QC berkata, Donegan kelihatan seperti diserang berdasarkan penemuan darah di atas lantai.
“Terdapat darah di atas lantai akibat kecederaan di kepala mangsa dan begitu juga pada perabot di dalam bilik tidur.
“Jelas sekali bukan wanita itu membunuh diri, tetapi individu lain yang membunuhnya kerana dia mati di dalam bilik tidur,” katanya.
Donegan kali terakhir dilihat pada 1 Februari tahun lalu, namun kad banknya terus digunakan Smith dan ia terbukti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup.