7 hari hanyut di laut



KUALA TERENGGANU: Empat nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar menangkap ikan pada 7 Feb lepas, berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Nelayan tersebut Azwan Yusof, 36; Walik Hafizul Walek @Raffa, 35; Hanafi Nasrizal Hamtha, 26; dan Mohd Faizan Musa, 29, yang kesemuanya dari Kampung Losong di sini, ditemui oleh kapal Maritim KM Gemia di kedudukan 55 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada pukul 5.15 petang tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata pihaknya menerima laporan kehilangan nelayan-nelayan tersebut pada pukul 10 malam Rabu lepas (12 Feb) dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan semalam, meliputi 63 batu nautika daripada Perairan Terengganu.

"Ketika ditemui petang tadi, kesemua mereka dalam keadaan lemah dan keletihan, yang mana kemudiannya mereka telah diberi makan dan rawatan awal sebelum bot mereka ditunda balik ke jeti APMM malam ini.

"Siasatan awal mendapati bot yang dinaiki mengalami kerosakan pada bateri, menyebabkan bot tersebut tidak dapat dihidupkan dan dihanyutkan arus selama tujuh hari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu di sini hari ini. 

Sementara itu salah seorang mangsa, Azwan berkata bot yang dinaiki bersama tiga rakannya itu rosak selepas berlabuh di kedudukan 63 batu nautika dari Perairan Terengganu, pada hari pertama mereka keluar ke laut.

"Kami keluar ke laut pada pukul 4 petang Jumaat (7 Feb) dan sampai di lokasi pada pukul 6 pagi Sabtu (8 Feb) dan mematikan enjin buat seketika. Pada pukul 7 pagi sebelum memulakan kerja kami cuba menghidupkan semula enjin namun gagal.

"Saya cuba menukar bateri enjin tetapi ia tetap gagal dihidupkan, menyebabkan kami terpaksa membiarkan kapal dihanyutkan arus," katanya yang pertama kali berhadapan detik cemas, termasuk angin kuat di tengah laut, setelah 14 tahun menjadi nelayan.

Seorang lagi mangsa, Hanafi Nasrizal berkata bagaimanapun mereka bernasib baik kerana mempunyai bekalan makanan yang mencukupi selama tujuh hari berada di laut.

“Sepanjang tempoh tujuh hari itu ada kapal asing yang lalu, namun mungkin mereka takut untuk mendekati dan membantu. Kami juga tidak dapat menghubungi sesiapa kerana tiada isyarat telefon di tengah laut,” katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel