Sarawak taburan hujan rendah Mac, cuaca kering kembali Semenanjung
PUTRAJAYA: Keadaan cuaca agak kering dijangka kembali dan hanya akan beransur-ansur reda bermula akhir Mac 2020, demikian menurut Jabatan Meteorologi.
Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata walaupun beberapa hari lepas hujan telah turun di kawasan-kawasan yang mengalami keadaan kering di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak, namun keadaan lembap itu adalah sementara sahaja.
"Negara kini masih berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2020.
"Dalam tempoh ini, selain Sarawak, biasanya taburan hujan adalah agak rendah di seluruh negara terutamanya di utara Semenanjung," katanya.
Memandangkan jangkaan keadaan cuaca yang agak kering, jabatan itu menasihatkan orang ramai supaya menjimatkan penggunaan air.
"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar dan minum air secukupnya," katanya.
Jabatan Meteorologi berkata tempoh peralihan monsun yang bermula pada akhir Mac dijangka membawa lebih banyak hujan ke seluruh negara.
Orang ramai boleh memperolehi maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi jabatan itu melalui aplikasi myCuaca dan laman media sosial MET Malaysia.
-- BERNAMA