Abang Jo desak kerajaan Persekutuan tunai janji laksana projek naik taraf sekolah daif di Sarawak
KUCHING : Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menempelak Kementerian Kewangan (MoF) kerana masih gagal menunaikan janji mahu melaksanakan projek naik taraf atau bina semula sekolah daif di Sarawak.
Ketua Menteri berkata, pembayaran sudah dilakukan oleh kerajaan negeri tetapi amat dikesali apabila belum ada tanda-tanda projek yang dirancang itu mahu dilaksanakan dalam masa terdekat.
Jelasnya, berdasarkan perjanjian kontra antara dua pihak terbabit, projek ini perlu dilaksanakan sebaik sahaja RM700 juta dibayar kerajaan Sarawak kepada kerajaan Persekutuan.
"Kita menjangkakan sekolah-sekolah daif di Sarawak akan mula dibaik pulih atau dibina semula.
"Mereka (MoF) telah setuju dengan cara pelaksanaan projek ini termasuk tender namun kini menukar pendirian," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Kolokium Keagungan Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata,
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mac ini bagi membincangkan isu tersebut.
Semalam, Gagodaily melaporkan nasib malang murid-murid yang masih terpaksa belajar di bangunan usang terdapat di sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak.
Bukan tiada insiatif diambil oleh kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan masalah ini, malah janji untuk membayar RM1 bilion dalam tiga jumlah bayaran kepada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif sudah pun ditepati.
Bagaimanapun, disebabkan kegagalan MoF melantik pelaksana projek telah melambatkan projek pembinaan semula dan menaik taraf sekolah daif di Sarawak, walaupun sejumlah RM700 juta telah dibayar dalam dua bayaran lebih lima bulan lalu.
Kecewa dengan apa berlaku, Manyin mahu semua pihak menghormati setiap keputusan terdahulu yang dibuat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Harapan beliau agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dapat dilantik sebagai agensi pelaksana dan semua tender akan dilakukan melalui Lembaga Tender Persekutuan di Sarawak.
Pandangan Manyin disokong oleh bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof yang bersetuju kerajaan negeri sepatutnya diberi keutamaan untuk memilih sekolah mana sepatutnya dibina dahulu.
Menurut Fadilah, kerajaan negeri lebih arif memilih apakah keutamaan sekolah yang patut dibina dahulu kerana peringkat negeri lebih mengetahuinya, manakala daripada segi pelaksanaan boleh diproses tender melalui penubuhan Jawatankuasa Bersama Antara Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.