Hotel mewah Tabung Haji habis dilelong?


Siapa untung, siapa rugi penjualan aset TH?

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

‘Kerajaan harapan rakyat’ , besarlah hasrat rakyat yang menaruh sepenuh harapan terhadap kemakmuran tanah air serta kestabilan ekonomi dan urus tadbir politik.

Harapan semakin menggunung apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof memberi jaminan tiada kerugian ditanggung selepas menyerahkan aset Tabung Haji (TH) kepada syarikat tujuan khas (SPV) pada 14 Disember 2018 yang ditubuh bawah Kementerian Kewangan.

SPV menerusi Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dikatakan kaedah paling berkesan untuk menyelamatkan TH yang dikatakan menanggung rugi akibat kerajaan terdahulu.

Maka pada 28 Disember 2018, sebahagian aset Tabung Haji dipindahkan ke UJSB.

Aset tersebut terdiri daripada 29 harta tanah, satu syarikat tidak tersenarai dan 106 sekuriti ekuiti domestik dengan jumlah perpindahan ialah RM19.9 bilion.

Antara aset yang dipindahkan ialah beberapa hotel milik Tabung Haji di bawah anak syarikatnya, Tabung Haji Hotel & Residence (THHR).

Tetapi harapan rakyat makin hari semakin tertiarap apabila TH mengumumkan 18 daripada 29 aset miliknya mengalami kerugian sehingga RM4.6 bilion sehingga wujud desas desus subsidi bagi mereka yang kali pertama menunaikan haji akan dipotong.

Bagaimanapun, subsidi itu dikekalkan selepas umat Islam bangkit bersuara tetapi pihak TH turut mendedahkan pemberian subsidi menyebabkan kerajaan menanggung RM1 bilion untuk tempoh sedekad lalu.

Pemberian subsidi kepada pendeposit TH tidak boleh dianggap satu "jenayah" yang membebankan kerana pendeposit sudah menyimpan lama dan pakej yang ditawarkan adalah secara pukal, jika beli secara borong mesti harganya lebih murahkan?

Agihan keuntungan diberi dalam bentuk dividen dan sebagainya kepada penyimpan termasuk secara subsidi untuk mengurangkan kos ketika mahu menunaikan haji.

Semalam, umat Islam negara ini dikejutkan pula dengan berita penamatan operasi dan perkhidmatan empat buah hotel milik TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR), iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu, mulai 1 April depan.

Mengimbas kembali sumbangan TH Hotel diwujudkan di Terengganu dan Kota Kinabalu sebagai contohnya, pendeposit yang datang dari ceruk kampung akan menetap di situ sebagai transit sebelum di bawa oleh pihak TH ke destinasi seterusnya, tiada lah mereka bergelandangan dengan beg besar di tepi bangunan TH.

TH Hotel di Terengganu sebagaimana TH Hotel di Kuching didirikan berhampiran lapangan terbang, yang dahulunya tanah negeri yang diserah kepada TH, adalah satu kerugian besar jika ia dijual dan bertukar tangan.

TH Hotel bukan sekadar pusat transit, mereka juga menyediakan pelbagai khidmat seperti penganjuran majlis rasmi kerajaan, majlis kahwin dan sebagainya tetapi tahun dulu-dulu kerajaan menggesa agensi awam menggunakan TH Hotel sepenuhnya.

Malah TH Hotel di Kuching, Sarawak melakar sejarahnya tersendiri di peringkat global apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Reka Bentuk dan Pembinaan Hotel Baharu Terbaik Antarabangsa bagi 2017-2018.

Pengiktirafan itu sekaligus meletakkan TH Hotel di Sarawak sebagai daya penarik pelancong ke bumi kenyalang itu.

Malangnya, setelah tiga tahun berlalu ia masih belum beroperasi, menunggu catnya luntur, usang  dipenuhi lalang dan terbiar.

Bagaimanapun,  kini TH Hotel dikatakan tidak memberi keuntungan diharapkan, mereka terpaksa dikorbankan tetapi yang paling terkorban adalah kakitangan yang akan kehilangan sumber pendapatan, berapa keluarga akan terkesan akibat pengumuman itu.

Penutup tirai 2019, PERKESO mengumumkan hampir 40,000 pekerja diberhentikan sepanjang tahun, walau jumlah peluang pekerjaan diumumkan melebihi jumlah diberhentikan tetapi banyak yang diambil kira seperti adakah ia menawarkan kepakaran sama, gaji yang memenuhi tuntutan komitmen dan sebagainya.

Dilema rakyat adalah, mampukah mereka mendapat pekerjaan sekurang-kurangnya mampu membayar hutang piutang keluarga masing-masing, menjual roti john pun mungkin tidak mampu menyelesaikan masalah mereka.

Wujud hipotesis sebelum ini yang mendakwa wujud kegiatan terancang melumpuhkan ekonomi umat Islam, hipotesis itu kelihatan agak benar kerana saban hari rakyat menerima kejutan demi kejutan.

Mengecilkan operasi, penstrukturan semula dan penutupan serta merta yang diideakan oleh pihak-pihak tertentu adalah ayat penyedap rasa, realitinya Kumpulan Utusan sendiri belum mampu membayar pampasan dan tunggakan gaji pekerja yang diberhentikan.

Berbalik kepada isu TH, rakyat mula menimbulkan persoalan apa peranan sebenar SPV yang ditubuhkan MOF, mereka mahu 'selamatkan' apa?

Hipotesisnya, semakin galak isu pakatan baharu yang dikatakan wujud dalam pakatan harapan, semakin rancak pula syarikat 'kawan-kawan' yang menjual aset.

Adakah tukang pencari pembeli tidak menerima sebarang "offset" daripada segala penjualan ini?

Yang penting rakyat tetap menanggung kesan dan kerugian daripada setiap tindakan dan keputusan yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
LihatTutupKomentar
Cancel