Agong cari penyelesaian terbaik



KUALA LUMPUR, 25 Feb  -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah baginda akan melaksanakan tanggungjawabnya bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani perkembangan politik semasa negara.

“Pertama sekali, biar saya laksanakan tanggungjawab… saya harap kita akan dapatkan penyelesaian yang terbaik… itu sahaja…,” titah baginda semasa melayan para petugas media yang menunggu di Pintu 2 Istana Negara di sini hari ini. Al-Sultan Abdullah sendiri berkenan menyampaikan bungkusan makanan segera kepada para petugas media berkenaan.


Baginda seterusnya menyeru rakyat supaya bersabar dalam menghadapi perkembangan politik semasa negara.

“Kita amat ambil berat… bersabarlah,” titah baginda.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila mengambil keputusan meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).


Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu, selepas menerima surat peletakan jawatan itu, dan baginda turut membatalkan pelantikan menteri-menteri berkuat kuasa semalam, atas nasihat Dr Mahathir.

Sehubungan itu, tugas-tugas Anggota Pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama.

-- Bernama

Kredit Gambar FB Istana Negara

25 Februari 2020 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beramah mesra dan menyantuni pengamal media apabila Baginda sendiri berkenan mengedarkan makanan kepada pengamal media yang bertugas di pintu 2 Istana Negara.

Daulat Tuanku

#agongkita #istananegara
LihatTutupKomentar
Cancel