Ahli parlimen isi borang pilih PM - Fadillah

KUALA LUMPUR - Ahli parlimen yang mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini diminta mengisi satu borang.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada borang berkenaan, beliau diminta memilih ahli parlimen yang disokong sebagai perdana menteri kelapan.

"Tiada berbincang, cuma isi borang siapa yang kita hendak jadi perdana menteri," katanya ketika ditemui media sebaik keluar dari Istana Negara pada jam 4.45 petang tadi.

Ketika ditanya siapa yang beliau pilih, Fadilah menjawab ringakas dengan menyebut Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata, temu ramah itu berjalan dengan baik dan lancar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak memberi sebarang komen.

Turut dilihat keluar dari Istana Negara, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat berkata, beliau mengisi satu nama memilih menyokong Dr Mahathir.

"Tunggu esok apa yang akan berlaku," katanya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Wee Ka Siong hanya meminta tunggu sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat pengumuman.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak ketika ditanya siapa yang disokong, beliau hanya menyebut perkataan rahsia.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Mohamed Said berkata, merekan diminta menamakan seoang perdana menteri atau bubar Parlimen.

"Tapi cadangan kita adalah rahsia. 

Terpulang pada Yang di-Pertuan Agong untuk ambil tindakan yang perlu hasil daripada temu ramah ahli parlimen," katanya.
 
Hari ini seramai 90 ahli parlimen akan ditemu ramah Yang di-Pertuan Agong berhubung situasi semasa politik negara.

Baginda juga akan mengenal pasti ahli parlimen yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri kelapan.
LihatTutupKomentar
Cancel