Ajal penjaga rumah burung
SADONG JAYA: Seorang penjaga rumah burung ditemui meninggal dunia di hadapan pintu rumah tidak bernombor di Kampung Sadong Jaya, Jalan Sadong Jaya - Sungai Buluh petang tadi.
Abang Ramlee Ipee ditemui dalam keadaan telentang muka menghadap ke atas dengan memakai seluar dalam dan berselipar.
Mangsa yang berasal dari Kampung Jaie dipercayai telah rebah sendiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern, simati tinggal seorang diri di rumah tidak bernombor dan bermalam di rumah tersebut untuk menjaga rumah sarang burung walit bersebelahan rumahnya.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati tidak ada sebarang kecederaan yang menjurus kepada unsur jenayah yang dialami pada tubuh badan mangsa.
"Hasil pemeriksaan di kawasan luar dan dalam rumah mendapati tiada kesan pergelutan serta tiada barang yang hilang. Tiada senjata dijumpai," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, semakan melalui kad kesihatan mangsa didapati simati ada rekod menghidap penyakit kolestrol tinggi dan tekanan darah tinggi.
"Kematian telah disahkan oleh Doktor Nur Amizah daripada Klinik Kesihatan Asajaya pada jam 2.45 petang," katanya.
Mayat dihantar ke Forensik HUS untuk bedah siasat esok.