Anak Sarawak perlu saling berhubung
Kuala Lumpur : Maklumkan kepada Rumah Sarawak jika ada rakyat Sarawak di Semenanjung yang memerlukan bantuan terutama mereka yang sakit atau jika berlaku kematian, khususnya di kalangan golongan tidak berkemampuan.
Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Penasihat Sarawak Volunteers, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama dari semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah sangat di alu-alukan untuk sama-sama membantu sekiranya terdapat kes yang melibatkan rakyat Sarawak yang memerlukan bantuan.
Katanya, mereka boleh berhubung terus dengan pegawai yang bertanggungjawab mengenai hal-hal berkaitan kebajikan di Pejabat Perhubungan Sarawak iaitu Puan Dayang Norhashimah dan wakil Sarawak Volunteers, Encik Mohd Reza Abd Rashid atau boleh berhubung terus dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak.
“Sepanjang tahun lalu (2019) seramai 201 pesakit & waris rakyat Sarawak yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sg Buloh, Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Putrajaya & Hospital Ampang menerima bantuan Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap di Majlis Taklimat Kebajikan Rakyat Sarawak Bersama sekitar 100 wakil NGO & pelajar IPT Sarawak di Lembah Klang, di Kuala Lumpur malam tadi.
Sepanjang 2019 juga Kerajaaan Negeri Sarawak yang diselaraskan oleh Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur atau Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers juga telah membantu serta mengurus 49 kes khairat kematian.
Ini melibatkan perbelanjaan menguruskan RM157,750. Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur atau Rumah Sarawak dengan kerjasama NGO-NGO yang membantu akan memastikan proses berkenaan dilaksanakan dengan teratur dan sempurna. Manakala bagi kes terdampar dan gelandangan kerajaan negeri telah membantu 2 kes pada 2019.
Program dan taklimat yang berlangsung malam ini merupakan kali pertama diadakan yang antara lain bertujuan memberi penerangan dan perkongsian bersama NGO-NGO serta pihak berkaitan termasuk wakil dari Persatuan Kebajikan Song-Kapit Kuala Lumpur; Persatuan Transformasi Dayak (TRADA), Pasar Borneo Seri Kembangan, Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Diaspora, Hikmah-KL, Persatuan Anak Limbang, Yayasan Limbang, Pegawai-Pegawai PPSKL, wakil Yayasan Sarawak, Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan dan Negeri Sarawak serta wakil persatuan pelajar Sarawak IPTA/IPTS sekitar Lembah Klang.
Datuk Seri Fadillah berterimakasih dan memuji usaha Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur (PPSKL) dan Sarawak Volunteers dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang selama ini telah membantu kes-kes yang telah dirujuk melibatkan rakyat Sarawak.
Adalah diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan bebanan pesakit dan keluarga berkenaan.
Fadillah berkata, setiap kes dilaporkan akan disemak sebelum bantuan dapat diberikan kepada penerima bagi mengelak sebarang kesulitan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Sarawak yang memerlukan.
Pada majlis berkenaan taklimat mengenai bantuan kebajikan untuk rakyat Sarawak di Semenanjung disampaikan Puan Azizan Aziz, Pegawai Kebajikan JKM Wilayah Persekutuan dan Abu Bakar Bujang, Pegawai Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak.
Sesi dialog turut diadakan selepas itu dengan Datuk Seri Fadillah, Azizan, Abu Bakar dan Pengawai Perhubungan PPSKL, Awang Supian Awang Daud menjadi ahli panel untuk menjawab semua soalan yang diutarakan.