RM27,000 selamat, rumah musnah
MUKAH: Pihak Bomba berjaya menyelamatkan sejumlah RM27,000 wang tunai milik tuan rumah daripada terbakar pagi tadi.
Kebakaran di Kampung Penakup Ulu,di sini, telah memusnahkan keseluruhan sebuah rumah struktur tidak kekal berkeluasan 60x60 kaki persegi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 9.26 pagi.
"Dalam kejadian ini kita berjaya menyelamatkan sejumlah wang tunai RM27,000 daripada jumlah sebenar dianggarkan RM35,000 yang terbakar.
"Wang tersebut telah diserahkan kepada pemiliknya," katanya di sini hari ini.
Katanya,rumah tersebut didiami dua buah keluarga, dihuni seramai 14 orang.
"Kebakaran tiada melibatkan sebarang kecederaan pada mangsa dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,"ujarnya.