Apa cerita rancangan bina LCCT AirAsia di Kuching?



DIBINA oleh kerajaan British pada tahun 1940-an, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) merupakan satu-satunya `pintu udara’ bertaraf antarabangsa di Bumi Kenyalang ketika ini.

Selain KIA, ada terdapat 12 lagi lapangan terbang di Sarawak memandangkan pengangkutan udara penting bagi negeri terbesar di Malaysia ini.


Sebanyak 12 lagi lapangan terbang ialah Lapangan Terbang Miri, Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Bintulu, Lapangan Terbang Mukah, Lapangan Terbang Mulu, Lapangan Terbang Lawas, Lapangan Terbang Marudi, Lapangan Terbang Long Banga, Lapangan Terbang Tanjung Manis, Lapangan Terbang Bario dan Lapangan Terbang Lutong.

Selain mengendalikan penerbangan domestic, KIA juga menerima kemasukan penerbangan  dari negeri-negeri di Semenanjung serta antarabangsa dari Singapura, Brunei dan Pontianak, Indonesia.

Malah, kerajaan Sarawak juga dalam proses mengadakan kerjasama dengan syarikat penerbangan swasta dari China untuk mengadakan penerbangan terus dari beberapa negeri di negara Tembok Besar itu ke KIA tetapi terpaksa ditangguhkan sementara kerana wabak koronavirus (Covid-19).

Ketika ini, KIA mampu mengendalikan 5 juta penumpang setahun, sekali gus menjadikannya lapangan terbang keempat paling sibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabnagsa Kuala Lumpur (KLIA).

Melihat permintaan dan keperluan tinggi terhadap perkhidmatan di lapangan terbang, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik kemudahan yang ada di KIA.

Pada masa sama, menjadi harapan besar kerajaan Sarawak agar ada syarikat penerbangan swasta sudi melabur untuk membina lapangan terbang antarabangsa yang baharu di Sarawak.

Impian ini hampir menjadi kenyataan apabila syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menyuarakan keinginan untuk bekerjasama membina terminal lapangan tambang murah (LCCT) di Kuching sebelum ini.

Kerajaan sarawak pertama kali menawarkan kerjasama membina LCCT bersama AirAsia di Kuching pada tahun 2011 oleh bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam semasa masih di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Rundingan mengenai projek itu kemudian diteruskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pada tahun 2018.

Setelah sembilan tahun tawaran dibuat, apa jadi dengan rundingan tersebut?.

Kini timbul pula persoalan jika syarikat penerbangan itu masih minat menjalin kerjasama  setelah AirAsia  berdepan dengan skandal rasuah bernilai RM240 melibatkan Airbus yang memaksa Tony dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Kamarudin Meranun melepaskan jawatan dalam kumpulan AiraAsia selama dua bulan serta merta baru-baru ini.

Soalan ini diajukan oleh Gagodaily kepada Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika temuramah bersamanya di Kuching baru-baru ini.

Ini jawapan beliau mewakili kerajaan Sarawak terhadap projek membina LCCT yang diimpikan sejak sembilan tahun lalu itu.

“Rakan kita dalam membuat lapangan terbang baharu ini ialah AirAsia, harapan kita ialah mereka masih berminat untuk untuk bersama dengan kita (merealisasikan pembinaan LCCT) walaupun kita tahu mereka menghadapi sedikit sebanyak masalah rasuah ketika ini,” ujarnya.

Kata Abdul Karim, kerajaan Sarawak berharap AirAsia masih berminat meneruskan rancangan tersebut kerana mahu mencapai matlamat menjadikan Kuching sebagai pintu masuk dan hab serantau bagi AirAsia menjadi kenyataan.

Selain itu, ujarnya, menjadi harapan kerajaan Sarawak mahu melihat perubahan di KIA, namun sedar untuk membuat perubahan mendadak di satu-satu lapangan terbang ia perlukan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memastikan projek pembinaan LCCT menjadi kenyataan, kerajaan negeri sudah pun mengemukakan pelan rancangan kepada AirAsia sebelum ini.

 “Tanah-tanah yang mana berdekatan dengan lapangan (LCCT mahu dibina)  itu sudah dikenal pasti.  Ini menunjukkan betapa serius kerajaan negeri mahu merealisasikan pembinaan projek berkenaan.

“Malah, notis-notis di bawah Sekysen 47 dan 48 sudah dikeluarkan dan pelan projek semua sudah ada walaupun pelan asal yang dikemukakan oleh AirAsia itu kecil, kerajaan negeri mengeluarkan pelan yang lebih besar, mereka bersetuju dengan pelan itu tapi bagaimana ia dilaksanakan bergantung kepada rakan kongsi kita (AirAsia),” jelasnya.

Sekiranya projek pembinaan LCCT Kuching menjadi kenyataan, ia ibarat `bonus’ bagi kerajaan dan rakyat negeri Sarawak khususnya yang tinggal di Kuching.

LCCT ini bukan sahaja menggalakkan kemasukan pelawat asing datang ke Sarawak dan memajukan ekonomi khususnya pelancongan, malah bakal menjadi `lubuk rezeki’ kepada penduduk tempatan apabila menyediakan banyak peluang kerja dalam pelbagai sektor perkhidmatan di lapangan terbang nanti.

Jadi rakyat Sarawak, marilah sama-sama berdoa agar dipermudahkan urusan untuk pembinaan projek LCCT Kuching.



LihatTutupKomentar
Cancel