Bahana makan Pop Corn
Seorang lelaki British berusia 41 tahun mendakwa dia mendapat jangkitan mengancam nyawa hingga memerlukannya untuk menjalani pembedahan jantung terbuka disebabkan popcorn.
Lapor Foxnews, ia didakwa berlaku selepas Adam Martin cuba mencungkil secebis popcorn tersangkut di gigi menggunakan pelbagai objek.
Mangsa seorang anggota bomba dan bapa kepada tiga orang anak dari Cornwall, England memberitahu, dia perasan secebis popcorn tersangkut di gigi belakang selepas dia dan isterinya menonton filem.
Selama tiga hari, dia tidak dapat mengeluarkan cebisan itu dan telah menggunakan pelbagai objek - tudung pen, pencungkil gigi, dawai dan juga paku - untuk mengeluarkannya, tetapi tidak berjaya, dan tindakan itu merosakkan gusi sekelilingnya.
Seminggu kemudian, Martin mula mengalami peluh malam, keletihan, pening kepala – dan beranggapan itu hanyalah tanda-tanda selesema tetapi kemudian dia sedari itu adalah tanda-tanda jangkitan endokardium, iaitu lapisan permukaan dalam ruang jantung, berpunca apabila bakteria dari mulut, kulit, usus dan bahagian lain badan memasuki saluran darah.
“Saya terus berjumpa doktor selepas rasa lain macam. Saya tidur lebih lama dari biasa dan kaki saya sakit-sakit serta berasa amat teruk,” katanya.
Imbasan dada menunjukkan jantungnya telah rosak teruk dan perlu dipindahkan ke hospital pakar, di mana dia telah menjalani pembedahan jantung terbuka selama tujuh jam bagi memperbaiki injap mitral dan menggantikan injap aortik.
“Jantung saya sudah tidak berfungsi dengan baik kerana injapnya sudah dimamah kuman dan jika dari awal lagi saya berjumpa dengan doktor gigi, perkara ini tidak akan terjadi, “ ujarnya.
Siapa sangka, hanya kerana secebis kecil popcorn boleh melarat ke pembedahan jantung.
Hati-hati kitak orang bila makan popcorn masa manga wayang ya... kalau sangkut sik boleh keluar, pergi jumpa doktor gigi.