Batal PDP : "Penjimatan" yang mengelirukan

Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Perkataan jimat memberi maksud keupayaan mengurangkan kos daripada kos yang sebenar.

Bagaimanapun dalam isu kos Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, penjimatan yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kelihatan mengelirukan.

Menerusi kenyataan beliau, kerajaan mampu meraih penjimatan RM3.1 bilion iaitu daripada kos sebenar RM21.9 bilion ke RM18.8 bilion susulan penamatan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak.

Guan Eng juga menyelar kos sebenar yang diumumkan kerajaan terdahulu sebanyak RM16.48 bilion yang kemudiannya diturunkan ke RM15.1 bilion adalah bukan kos sebenar kerana tidak termasuk yuran 5.5 peratus penggunaan PDP.

Bagaimanapun bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof pula menyanggah kenyataan Guan Eng tersebut sebagai tidak jujur dan mengelirukan khususnya apabila mendakwa kerajaan meraih penjimatan RM3.1 bilion menerusi pembatalan PDP yang akan berkuat kuasa pada 20 Februari ini.

Ini berikutan kata Fadillah, mengikut fakta perjalanan projek, menggunakan kaedah PDP sebenarnya lebih menjimatkan dan buktinya daripada kos asal keseluruhan RM16.488 bilion, kerajaan mampu menurunkan ke RM16.116 bilion dan kemudiannya turun sehingga RM15.1 bilion.

Fadillah berkata Menteri Kerja Raya Baru Bian menyatakan di Parlimen pada 26 Mac 2019 bahawa kos asal yang disasarkan untuk projek itu ialah RM16.48 bilion.

Beliau berkata sasaran asal kos projek itu dihadkan kepada RM16.488 bilion dan bukan RM21.9 bilion, dengan sasaran tarikh siap akhir 2021.

Di bawah PDP, seramai 10 kontraktor berusaha sedaya upaya berlandaskan KPI bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual dan tidak melebihi peruntukan kos yang disediakan.

Apa yang menjadi keutamaan dan diharapkan rakyat Sarawak adalah projek itu mampu disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan.

Bagaimanapun dengan pembatalan PDP dan menggantikannya dengan kaedah konvensional, Jabatan Kerja Raya Sarawak dilihat mengambil masa untuk mencapai momentum kerja berikutan kehilangan 500 staf PDP di 25 tapak projek.

Ada juga desas desus mengatakan mereka mahu menambah staf dalam gerak kerja tetapi persoalannya adakah ia akan menyebabkan pertambahan kos? Dan sudah tentu tempoh masa projek lebih panjang daripada sebelum ini.

Tambah mengelirukan, Menteri Kerja Raya, Baru Bian pula memaklumkan belum memperincikan kos sebenar projek dan akan mengumumkannya pada 20 Februari nanti. 

Menjadi tanda tanya bagaimana Guan Eng boleh memperincikan kos itu sebelum diperincikan Baru Bian selaku menteri yang bertanggungjawab menentukan keperluan kos sebenar projek berkenaan.

Menteri Kewangan itu turut membatalkan kontrak PDP yang lama kerana katanya kaedah itu tidak menjimatkan berbanding menggunakan kaedah projek konvensional.

Lebih mengelirukan, kaedah PDP yang didakwa lebih mahal tetapi digunakan Guan Eng dan Ketua Menteri baru Pulau Pinang dalam menganugerahkan Projek Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion dan tiga kali ganda lebih besar berbanding kos asal Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

*** 
WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS adalah Pemenang Anugerah Kajai 2013 dan Tokoh Wartawan Rakyat

LihatTutupKomentar
Cancel