Borneo Eco Fish mahu hasilkan 150 tan ikan tilapia sebulan

KUCHING, 17 Feb: Penternak ikan tilapia di kawasan Empangan Hidroelektrik Batang Ai, Lubok Antu perlu meningkatkan pengeluaran ikan untuk memenuhi permintaan dari Singapura.

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian kerana ikan tilapia dari Batang Ai dari sumber air bersih menjadi pilihan rakyat Singapura.

"Saya pasti ikan ( tilapia dari Batang Ai) ini lebih enak, ini juga disahkan seorang usahawan dari Singapura yang datang ke Kuching dan bertemu Ketua Menteri dan memberitahu mereka memilih ikan tilapia dari Batang Ai kerana tidak berbau lumpur,"katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembekalan ekslusif ikan tilapia antara Sugarbun dan Borneo Eco Fish Sdn Bhd di cawangan Sugarbun di Satok, di sini, hari ini.

Perjanjian terbabit ditandatangani Pengarah Besar Sugarbun, Raymond Teo dengan Pengarah Borneo Eco Fish Sdn Bhd, Thomas Hii bagi Borneo Eco Fish Sdn Bhd membekalkan minimum 10 tan ikan tilapia setiap bulan kepada Sugarbun.

Douglas berkata selain Sarawak, pihaknya dimaklumkan sebahagian ikan tilapia diimport Singapura dari Vietnam, Indonesia dan Kuala Lumpul serta sebahagian ikan terbabit didapati berbau lumpur.

"Kita berharap ( penternak ikan ini) di Batang Ai, juga akan mengamalkan Smart Farming supaya membolehkan mereka meningkatkan lagi produktiviti dan menjadi lebih berdaya saing,"katanya.

Beliau berkata Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah juga akan membantu menaiktaraf kemudahan di Batang Ai supaya penternak ikan di sana dapat memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

"Ini seperti sijil HACCP (100 peratus bebas antibiotik) dan sijil MyGAP (keselamatan dan kualiti pengeluaran)," katanya.

Ladang ternakan ikan tilapia Borneo Eco Fish Sdn Bhd di kawasan tasik seluas 247 hektar di Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Lubok Antu 5,000 sangkar dan menghasilkan lebih 100 tan ikan talapia setiap bulan serta menjadi pengeluar ikan tilapia terbesar di Sarawak.

Pengeluaran ladang terbabit dijangka mencecah 150 tan setiap bulan pada penghujung tahun ini dengan pembukaan kilang baharu dan pusat pemerosesan serta pusat penetasan di Batang Ai.


Keterangan gambar:

1. Datuk Amar Douglas Uggah Embas (empat dari kiri) menunjukkan ikan talapia dari Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Lubok Antu selepas majlis menandatangani perjanjian antara Sugarbun dan Borneo Eco Fish Sdn Bhd cawangan Sugarbun di Satok, di sini, hari ini.



2.Ikan talapia dari Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Lubok Antu yang dibekalkan Borneo Eco Fish Sdn Bhd kepada Sugarbun.
LihatTutupKomentar
Cancel