Buta tidak halang cemerlang STPM
SIBU: Walaupun buta, ia tidak mematahkan semangat Yak Fang Ling menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2019 Peringkat Kebangsaan [Kategori Pelajar Berkeperluan Khas (Buta)].
Yak memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif Penuh (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 yang diumumkan hari ini.
Pelajar bersemangat kental ini memperolehi 4A dalam mata pelajaran: Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah & Pengajian Perniagaan.
Pelajar SMK Sungai Merah, Sibu ini turut dijemput menghadiri Anugerah Pelajar Terbaik untuk Kategori Pelajar Khas (Buta) yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim di Kuala Lumpur.
Beliau diiringi oleh pengetua sekolah, Wong Siew Ling dan gurunya, Saptura Ibrahim.
"Pada masa ini, saya sedang melanjutkan pengajian dalam Pengajian Mubaligh jangka pendek di Methodist Theological School," katanya.
Menceritakan pengalaman katanya, dia hanya memulakan pendidikan formalnya ketika beliau berada di Tahun Lima kerana tidak ada sekolah di Sibu yang mahu menerimanya.
Dia berhadapan kesukaran untuk mendapat pendidikan formal seperti orang lain ketika untuk memasuki Sekolah Menengah walaupun mendapat keputusan cemerlang Tahun Enam dengan 4As dan 1B kerana tidak ada sekolah dengan cacat penglihatan di Sibu.
Bagaimanapun, kesnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah, juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, yang tanpa ragu membantu Yak untuk mendapat pendidikan di Sibu.
Bahagian Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan berkerjasama dengan Pejabat Pendidikan Bahagian Sibu untuk membuka kelas integrasi khas di SMK Sungai Merah.
Kini, beliau berhasrat untuk memasuki universiti tempatan. Yak berkata beliau berminat dalam kaunseling, undang-undang dan pendidikan.
Foto ihsan SMK Sungai Merah Sibu