MBKS perkenal straw beras dan ubi kayu


KUCHING, 25 Feb: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan memperkenalkan penyedut minuman diperbuat dari beras dan ubi kayu sebagai pengganti penyedut minuman plastik yang akan dilarang pengunaannya di semua pusat penjaja makanan mulai 1 April ini.

Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng berkata pembekal penyedut minuman diperbuat dari beras dan ubi kayu terbabit telah menemui pihaknya setelah larangan terbabit diumumkan baharu-baharu ini.

"Mereka menghubungi kami dan menyatakan ada produk ini yang boleh menjadi pilihan bagi menggantikan penyedut minuman plastik. Sebab itu saya membawa mereka masuk ( di mesyuarat) dan memberikan taklimat mengenainya kepada semua kaunselor (MBKS) hari ini,"katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh majlis MBKS di Bangunan MBKS, Padungan, di sini, hari ini.

Wee Hong Seng berkata pihaknya selepas ini akan memperkenalkan penyedut minuman dari beras dan ubi kayu itu kepada peniaga pusat penjaja makanan MBKS di bandar raya ini dan terpulang bagi peniaga terbabit mengunakannya selepas larangan itu dikuatkuasa.

"Ini kerana selepas pengumuman larangan itu sebelum ini, kami menerima banyak komen termasuk pembekal yang bimbang masa depan mereka dan peniaga yang bimbang kalau pelanggan mendesak diberikan penyedut minuman,"katanya.

Katanya sekiranya pelanggan mendesak, peniaga boleh memberikan penyedut minuman dari beras dan ubi kayu itu kepada mereka dan harganya akan ditambah pada harga minuman dipesan mereka.

"Mereka (pembekal) juga ada penyedut minuman dari beras dan ubi kayu yang bersaiz besar bagi minuman bubble tea dan juga saiz lain bagi kebanyakkan minuman biasa lain,"katanya.

Wee berkata bagi MBKS, pihaknya akan menguatkuasakan larangan terbabit bagi melindungi alam sekitar disamping pengunaan penyedut minuman plastik dalam minuman hanyalah satu tabiat yang boleh diubah.
LihatTutupKomentar
Cancel