DAP minta Sarawak batalkan cukai tayar
KUCHING, 9 Feb: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menyeru kerajaan Sarawak membatalkan cukai jualan yang dikenakannya terhadap tayar kenderaan import yang dijual peniaga tayar dan peniaga kenderaan di negeri ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata ini berdasarkan satu surat dikeluarkan Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak sebelum ini memaklumkan semua pengusaha kedai menjual tayar dan juga penjual kenderaan yang kerajaan negeri mengenakan cukai itu mulai 1 Januari tahun ini.
"Bukan sahaja terhadap tayar yang dijual, digantikan (di kedai tayar), tetapi juga untuk kenderaan baharu yang diimport atau dibeli, dibawa masuk ke dalam Sarawak, akan dikenakan cukai jualan atas tayar yang dipasang pada kenderaan terbabit,"katanya selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina penduduk di Jalan Selangan Batu, Pending, di sini, hari ini.
Chong berkata surat terbabit juga mengarahkan penjual tayar dan peniaga kenderaan di negeri ini mendaftar dengan Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak untuk kerajaan Sarawak boleh mengenakan cukai itu terhadap mereka dan sekiranya tidak berdaftar boleh dikenakan denda.
Katanya kadar cukai itu berbeza sehingga RM10 atau RM50 satu tayar dan beliau merasakan ini adalah sesuatu yang menambahkan beban rakyat yang ketika sedang menanggung kos sara hidup yang tinggi.
"Saya menyeru kepada kerajaan negeri Sarawak supaya menangguhkan atau memansuhkan apa yang diputuskan oleh kabinet kerajaan negeri untuk mengenakan itu cukai jualan tayar terbabit,"katanya.
Katanya mereka terlibat dalam logistik dan pengangkutan juga akan turut dibeban cukai itu dan menjadi kos tambahan kepada ramai peniaga serta akhirnya kos itu akan dipindahkan kepada rakyat.
Chong berkata kerajaan Sarawak selalu mengatakan ada banyak duit disimpan dalam bank malahan Ketua Menteri juga selalu mengumumkan projek berbilion ringgit di sana-sini dan berikutan itu tiada sebab menyusahkan rakyat Sarawak dengan mengenakan cukai itu.
tamat
Keterangan gambar:
1. Chong Chieng Jen berucap kepada penduduk Selangan Batu ketika menghadiri rumah terbuka tahun baharu Cina mereka di Pending, di sini, hari ini.