Diberkas angkara dadah
KUCHING:Seorang lelaki diberkas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di hadapan sebuah rumah di Taman Alamanda, Malihah, jam 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, ketika membuat pemeriksaan badan ke atas suspek telah menjumpai satu paket besar plastik di dalam genggaman tangan kiri dan didalamnya terdapat sembilan paket plastik lutsinar berisi ketul ketulan kristal disyaki dadah Syabu dengan berat kasar 5.25 gram .
"Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine/Methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal suspek mengaku terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah jenis Syabu sejak tiga tahun yang lalu.
"Suspek juga mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 379A.KK (Curi Motosikal) dan Seksyen 324KK ( Mendatangkan Cedera ).
"Suspek ditangkap dan ditahan reman bagi membolehkan siasatan dijalankan," ujarnya.