Gerai jual rokok seludup di Miri diserbu
MIRI : Dua gerai di kawasan Pasar Malam Ladang Kuala Suai, Niah, di sini, yang menjalankan perniagaan menjual rokok seludup diserbu pihak Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Miri,malam tadi.
Dalam serbuan itu sebanyak 68,840 batang rokok tidak bercukai bernilai RM48,188 dirampas.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata,
dalam serbuan ke atas gerai pertama pada jam 12.15 tengah malam, anggota PPM menemui rokok pelbagai jenama sebanyak 52,000 batang dan bernilai RM36,400 yang disorok di dalam kotak bawah meja jualan.
"Dalam serbuan ke atas gerai kedua, jam 1 pagi, anggota PPM berjaya merampas rokok pelbagai jenama sebanyak 16,840 batang dan bernilai RM11,788," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,dua lelaki berusia 37 dan 49 tahun yang merupakan penjaga gerai turut ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berhubung pemilikan barang-barang tersebut.
"Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,"jelasnya.