Ditangkap gandakan harga sanitizer
KUALA LUMPUR, 13 Feb -- Sebuah syarikat pengeluar cecair pembasmi kuman di Kajang, kira-kira 23 kilometer dari sini, diserbu selepas dipercayai menaikkan harga lebih 100 peratus dalam tempoh kurang dua minggu.
Timbalan Pengarah Pencegahan Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung peningkatan harga cecair pembasmi kuman dikeluarkan syarikat berkenaan yang dijual secara dalam talian.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dilakukan awal bulan lepas di laman sesawang syarikat berkenaan mendapati harga bagi satu pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter dijual pada harga RM118 berbanding harga sebelumnya RM112.
“Bagi tempoh dua minggu kemudian, harga produk berkenaan terus meningkat hingga mencecah peningkatan 100 peratus iaitu RM228 yang direkodkan semalam di laman sesawang syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Azman berkata pihaknya turut merampas 37 pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter setiap satu dianggarkan bernilai RM8,436 dalam serbuan itu.
“Kami memandang serius mengenai peningkatan harga cecair pembasmi kuman kerana permintaan semakin meningkat dalam kalangan pengguna berikutan penularan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Harga dan Antipencatutan 2011.
- Bernama