Laporan palsu


BUKIT MERTAJAM, 13 Feb -- Polis menahan seorang operator kilang yang didapati membuat laporan palsu kononnya beg duitnya disamun sehingga dia kehilangan dokumen peribadi termasuk wang tunai RM150 awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata siasatan mendapati wanita berusia 28 tahun itu membuat laporan palsu semata-mata kerana enggan pergi kerja.

Beliau berkata pada mulanya wanita itu mendakwa ketika sedang menunggang motosikal semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, di disamun oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal di Jalan Permatang Nibong, Kubang Semang di sini pada kira-kira pukul 6.40 pagi.

"Wanita itu mendakwa sebuah motosikal dari arah belakang telah membunyikan hon dan meminta dia berhenti sebelum dua lelaki terus mengambil dompetnya yang berada dalam raga motosikal sebelum mereka terus memecut laju (motosikal)," katanya di sini malam ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita itu pernah membuat tiga laporan polis dan hasil penelitian mendapati jalan cerita dia disamun kelihatan hampir sama dengan laporan yang pernah dibuatnya sebelum ini.

Nik berkata selepas disoal siasat wanita itu akhirnya mengaku membuat laporan polis palsu kerana tidak mahu pergi kerja.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel