Dua beradik dihanyut arus Sungai Jelai ditemukan lemas

KUANTAN, 29 Feb -- Mayat dua beradik perempuan ditemukan pagi ini, selepas dihanyutkan arus deras Sungai Jelai di Kampung Tanjung Gahai, Lipis pada Khamis lalu. 

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata mayat Siti Suhaida Mohd Rosli, 15, ditemukan polis pada 8.40 pagi tadi, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat. 
Mayat kakaknya, Siti Nur Hidayah, 19, ditemukan oleh pasukan bomba pada 9.20 pagi oleh pasukan bomba sekitar tiga kilometer dari lokasi kejadian. 

"Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga ditamatkan dengan penemuan dua beradik tersebut," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Azli berkata operasi SAR secara keseluruhannya melibatkan enam pegawai dan 48 anggota iaitu polis, bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut dibantu penduduk kampung. 

Siti Suhaida dan Siti Nur Hidayah yang beralamat di Perumahan Agropolitan Gahai, Lipis dipercayai ke taman rekreasi kampung itu bersama tiga lagi adik-beradik mereka pada 4 petang Khamis untuk mandi. 

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang bermain di gigi air sebelum perlahan-lahan bergerak ke tengah sungai dikatakan telah dibawa arus deras kira-kira setengah jam kemudian. 
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel