Dua nelayan warga asing maut terhidu gas ammonia
SHAH ALAM, 19 Feb -- Dua nelayan warga asing maut manakala dua lagi mengalami sesak nafas dipercayai terhidu gas ammonia dalam sebuah bot pukat tunda di jeti nelayan, Jalan Bagan 4, Sungai Besar, kira-kira 83.4km, dari sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Agus Salim Mohd Alias, berkata dalam kejadian jam 2.50 petang itu, kesemua mangsa lelaki terbabit dipercayai sedang memunggah ikan daripada dalam bot ke pelantar jeti berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, berlaku kebocoran gas disyaki daripada peti simpanan ikan di dalam bot tersebut menyebabkan kesemua mangsa terhidunya lalu dua daripadanya pengsan manakala dua lagi meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal polis mendapati, gas berkenaan dipercayai digunakan untuk proses sejuk beku ikan, namun belum dikenal pasti jenisnya. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dikejarkan ke lokasi tersebut.
“Pemeriksaan mendapati kesemua mangsa merupakan warga Indonesia namun identiti mereka masih sedang dikenal pasti. Punca sebenar kematian dan kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.
Agus Salim berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor memberitahu, gas beracun yang bocor daripada bot tunda berkenaan disyaki jenis ammonia.
Kata beliau, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5 petang dan 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar termasuk dua pasukan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) BBP Rawang serta Shah Alam dikejarkan ke lokasi tersebut.
“Kerja-kerja pembersihan telah dilakukan dan selesai beberapa jam kemudian. Siasatan mengenai punca kebocoran gas masih dalam siasatan namun keadaan adalah terkawal dan tiada mangsa lain terjejas akibat kejadian berkenaan,” katanya.
-- Bernama
Gambar Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar