Why is a PDP for RM46 bil PTMP Ok?
Terjemahan
Oleh P Gunasegaram
Baru-baru ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau berjaya menjimatkan sebanyak RM3.1 bilion dengan menamatkan perjanjian rakan pelaksana projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (PDP) yang bernilai RM21.9 bilion.
Ini lantas menimbulkan persoalan sama ada banyak dana dapat diselamatkan dengan menamatkan PDP untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion - mungkin dua kali ganda daripada RM3.1 bilion sehingga lebih RM6 bilion kerana kos projek itu yang lebih daripada dua kali ganda projek Pan Borneo.
Untuk rekod, Lim adalah tenaga penggerak di sebalik projek PTMP ketika beliau menjadi ketua menteri Pulau Pinang dari 2008 hingga 2018.
“Anggaran implikasi kewangan kepada kerajaan dengan penglibatan syarikat PDP terdahulu adalah berjumlah RM21.9 bilion manakala anggaran implikasi kewangan selepas penamatan perjanjian PDP adalah RM18.8 bilion," katanya mengenai projek Pan Borneo itu.
Ini adalah pengurangan sebanyak 14.2% daripada kos asal sebanyak RM21.9 bilion yang dikatakan Lim. Namun sekiranya perjanjian PDP ditamatkan, jumlah yang dijimatkan sepatutnya hanya 6% sahaja daripada kos projek kerana jumlah itulah yang biasa dikenakan oleh PDP.
Angka yang diberikan oleh Lim segera dicabar pegawai dari kerajaan terdahulu namun jawapan yang diberikan beliau masih tidak menjelaskan sepenuhnya bagaimana penjimatan yang dinyatakan itu dicapai.
Adalah penting untuk beliau menerangkan perkara itu sejelas-jelasnya.
Andai kata penjimatan yang sama dapat dicapai untuk PTMP, maka penjimatan daripada penamatan perjanjian PDP untuk projek PTMP boleh mencapai 14.2% daripada kos projek atau sebanyak RM6.5 bil.
Menjawab persoalan mengenai angka berkaitan Pan Borneo Lim berkata: "Di bawah model PDP, kos keseluruhan bukan sahaja melibatkan kos pembinaan tetapi juga pembayaran kepada syarikat PDP termasuk bayaran balik dan pembayaran fi PDP (5.5% daripada kos pembinaan)," jelas Lim. Tetapi itu sememangnya aturan bagi semua PDP.
Ketika masih menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim mengumumkan perlantikan PDP untuk PTMP (pada masa itu kos dianggarkan bernilai RM27 bilion sebelum meningkat kepada RM46 bil kemudiannya) pada Ogos 2015.
"Konsortium SRS terdiri daripada nama-nama terkenal dalam industri kejuruteraan dan pembinaan serta pembangunan hartanah, iaitu Gamuda Bhd (60%); Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd (20%) dan Ideal Property Development Sdn Bhd (20%) yang berpangkalan di Pulau Pinang," kata Lim dalam satu kenyataan akhbar.
Bagaimanapun, tidak seperti Gamuda yang berpengalaman menjadi PDP bagi projek infrastruktur berskala besar, kedua-dua syarikat itu berpangkalan di Pulau Pinang itu mempunyai sedikit atau tiada pengalaman langsung dalam pembinaan berskala besar dan sudah pastinya bukan sebagai PDP.
Menariknya, kementerian kewangan mempunyai cadangan untuk pembelian beberapa konsesi jalan tol yang dimiliki oleh kumpulan syarikat Gamuda dengan harga RM6.2 bil.
Gamuda mungkin akan memulakan PTMP tidak lama lagi dan mungkin akan mengalu-alukan suntikan wang tunai dan pengurangan hutang daripada pembelian kenderaan khas oleh kementerian kewangan untuk memulakan PTMP.
PTMP adalah projek yang sangat rumit dan penuh kontroversi yang ditentang keras oleh kumpulan masyarakat sivil di Pulau Pinang seperti Forum Pulau Pinang, yang mengatakan ia tidak akan mengurangkan kesesakan, mahal dan sangat berisiko.
Suatu ketika, telah dicadangkan bahawa Pulau Pinang akan memulakan PTMP melalui terbitan bon (angka tidak didedahkan) yang akan dijamin oleh kerajaan persekutuan.
Dalam jangka panjang, adalah dijangkakan bahawa keseluruhan RM46 bil akan dibiayai daripada penambakan 1,818ha (4,500 ekar) tanah laut yang sepatutnya dijual dengan harga RM70 bilion.
Butiran mengenai pekrara ini adalah tidak jelas. Anda tidak boleh membuka tanah seluas 4,500 ekar atau 196 juta kaki persegi di kawasan bandar tanpa menjangkakan ianya akan memberi kesan kepada harga tanah. Harga RM70 bilion, harga purata bagi satu kaki persegi tanah tersebut adalah RM357.
Memandangkan penambakan tanah itu melibatkan pembinaan rumah dan kilang, tidak dapat dipastikan berapa harga rumah atau kilang itu nanti. Tambahan pula, masih belum ada unjuran kos bagi penambakan laut itu.
Kejayaan PTMP bagaikan bergantung pada benang – untuk mendapatkan keuntungan bersih yang tinggi selepas penjualan tanah yang ditambak, sekalipun selepas membayar PDP, kos penambakan tanah dan lain-lain yang akan melebihi kos PTMP sebanyak RM46 bil.
Perlu diingat, ini adalah projek selama 30 tahun dan dengan itu kos boleh meningkat dan jika harga tanah yang ditebus tidak tetap, maka projek ini akan ke laut.
Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja perlu menamatkan PDP dengan serta-merta tetapi mengkaji semula secara menyeluruh sama ada PTMP perlu dilaksanakan dengan kos RM46 bilion berbanding dengan sistem LRT / MRT Kuala Lumpur yang bernilai kira-kira RM50 bil namun memberi perkhidmatan kepada lapan juta orang, kira-kira sembilan kali jumlah penduduk Pulau Pinang.
Ini sepatutnya menjadi petanda yang sangat jelas bahawa PTMP adalah projek yang terlalu besar dan terlalu mahal berbanding jumlah penduduk Pulau Pinang. Perlu diingatkan juga, lebih daripada separuh penduduk di Pulau Pinang tinggal di Seberang Perai.
Menumpukan banyak dana di pulau itu akan mengganggu pembangunan pada masa akan datang yang memberi manfaat kepada penduduk pulau itu, yang rata-rata tidak mahukan PTMP.