Empat kes sembuh hari ini


KUALA LUMPUR: Jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara ini kekal 19 setakat laporan ini ditulis hari ini, sejak tiga kes pertama dilaporkan pada 25 Jan.

Daripada 19 kes itu, 6 adalah rakyat Malaysia dan 13 warganegara dari China.

Setakat hari ini (14 Feb), empat orang lagi pesakit dilaporkan sudah sembuh sepenuhnya. 

Kesemuanya adalah warganegara China iaitu seorang wanita berusia 65 tahun, menantu perempuannya berusia 36 tahun dan dua orang cucunya, masing-masing berumur 11 tahun dan 2 tahun.

Ini menjadikan jumlah pesakit COVID-19 yang sudah sembuh kepada tujuh orang. 

Sebelum ini tiga pesakit COVID-19 di Malaysia dilaporkan sembuh. 

Mereka juga warganegara China iaitu dua lelaki orang, masing-masing berusia 63 dan 40 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pada 12 Feb dipetik sebagai berkata keadaan jangkitan COVID-19 di negara ini "masih dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal."

Malaysia, katanya, turut "mengukuhkan kesiapsiagaan lebih awal untuk menghadapi kemungkinan penularan wabak tersebut."

Kenyataan beliau itu adalah sebagai respons kepada nasihat yang dikeluarkan oleh Dr Takeshi Kasai, Pengarah bagi Rantau Asia Pasifik Barat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada negara di rantau ini termasuk Malaysia.

Menurut Dr Takeshi, wabak COVID-19 kini berada "di persimpangan yang kritikal" kerana sudah terdapat kes positif virus berkenaan yang tiada kaitan dengan China dan wabak penyakit itu boleh menular dengan lebih meluas.

Sementara itu, laporan agensi menyebut seorang pelajar mungkin menjadi mangsa pertama COVID-19 Indonesia. Pelajar berusia 19 tahun dari perkampungan Sifnana, Kepulauan Tanimbar, Maluku itu menerima rawatan sejak 12 Feb, apabila menunjukkan gejala COVID-19.

Pelajar itu dilaporkan sebelum itu melawat Malaysia dan akan dikuarantin selama 14 hari sementara menunggu pengesahan dari makmal.

COVID-19 sebelum ini dikenali sebagai virus Wuhan atau 2019-nCoV dan pertama kali dikesan di  bandar Wuhan, Hubei, China pada 31 Dis 2019.

WHO mengumumkan nama rasmi virus itu sebagai COVID-19 pada hari pertama berlangsungnya persidangan saintifik antarabangsa di Geneva, Switzerland pada 11 Feb. COVID-19 adalah singkatan kepada Corona Virus Disease 19. 

WHO yang juga mengumumkan vaksin pertama untuk COVID-19 disasar dihasilkan dalam tempoh 18 bulan ini menekankan bahawa, COVID-19 wajar dilihat sebagai "musuh awam nombor satu." 

Sementara itu, Malaysia dan Singapura pada 11 Feb bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama bagi berkongsi maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan untuk memastikan penularan COVID-19 dapat ditangani secara berkesan.

Menurut Dr Dzulkefly, jawatankuasa itu akan diterajui oleh Timbalannya, Dr Lee Boon Chye bersama rakan sejawatnya dari Singapura.

 

SARANAN UNTUK ORANG ORANG AWAM

 

Sebagai usaha pencegahan, orang ramai disarankan agar mengelakkan bersalaman secara saling bersentuhan tangan, sebaliknya menggunakan pendekatan ‘salam cara Malaysia’ sebagai langkah mengurangkan penularan COVID-19.

Ia adalah antara langkah pencegahan yang perlu diamalkan ketika ini selain daripada kerap mencuci tangan.

“Apabila pesakit itu batuk, virus yang keluar itu (mungkin berada) di atas meja, lif dan sebagainya boleh bertahan beberapa jam dan apabila menyentuh kawasan berkenaan, ada kemungkinan mendapat jangkitan penyakit.

“Jadi, kita mencadangkan beberapa perkara antaranya kerap membasuh tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman atau mengelak menyentuh muka dengan tangan dan saya mencadangkan, kalau boleh mengurangkan sedikit bersalaman secara bersentuhan tangan,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye kepada pemberita ketika melawat perayaan Thaipusam di Kuil Gunung Cheroh, Ipoh baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan bahawa jangkitan koronavirus adalah bukan melalui udara.

 

TULAR BERITA PALSU

 

Dalam kerajaan bertungkus lumus untuk menangani penularan wabak COVID-19, nampaknya "palatau" juga semakin rancak beraksi dan tidak gentar dengan peringatan pihak berkuasa supaya jangan sekali-kali menyebar berita tidak benar mengenai wabak tersebut.

Palatau istilah yang lazimnya digunakan di sebelah utara Semenanjung Malaysia. Ia adalah singkatan kepada "kepala tahu - seseorang yang suka bercakap tentang sesuatu perkara seakan-akan dia pakar sedangkan tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai perkara yang diperkatakan.

Polis pada Selasa 12 Feb membuka satu lagi kertas siasatan berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai jangkitan COVID-19 di media sosial, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 23 kes.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi), Datuk Mohd Roze Shaari berkata, kertas siasatan baharu itu melibatkan satu kes di Tumpat, Kelantan.

"Setakat ini, tiga kes telah dituduh di mahkamah masing-masing di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah," katanya kepada Bernama Selasa lepas (12 Feb).

Pada 5 Feb,  Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berkata mana-mana individu yang menimbulkan dan menyebarkan pembohongan dalam isu melibatkan jangkitan COVID-19 di internet hendaklah disiasat dan sekiranya wujud kes, dituduh di mahkamah.

 

STATUS WABAK COVID-19

 

Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia adalah seperti berikut:-

Jumlah keseluruhan kes, 64,267 dan jumlah negara yang terlibat 25. Jumlah kematian keseluruhan 1,489.  Sementara itu, menurut laporan Reuters pada 13 Feb, Wilayah Hubei mencatat angka kematian tertinggi dalam sehari iaitu 242 orang pada Rabu 12 Feb. Suruhanjaya Kesihatan Hubei turut melaporkan sebanyak 14,840 kes positif baharu pada hari yang sama.

Di samping 1 kematian di Hong Kong dan 1 di Filipina, Jepun mengumumkan satu kematian pada 13 Feb.  The Japan Times memetik Menteri Kesihatan Katsunobu Kato yang mengumumkan berita kematian itu di mana ia melibatkan seorang wanita berusia dalam lingkungan 80an dari wilayah Kanagawa, di barat daya Tokyo.

Statistik jangkitan wabak COVID-19 tinggi di negara matahari terbit itu adalah juga tinggi kerana sekitar 218 orang yang disahkan positif datang dari kapal persiaran Diamond Princess yang berlabuh di Pelabuhan Yokohama sejak awal Februari. Ini termasuk seorang pegawai kuarantin. Statistik itu tidak termasuk jangkitan dalaman sebanyak 33 kes.

Dalam senarai 10 teratas dengan bilangan jangkitan yang tinggi selain Jepun ialah Singapura 58 kes, Thailand 33 kes, Korea Selatan 28 kes, Malaysia 19, Jerman 16 kes, Vietnam 16 dan Australia 15, Amerika Syarikat 15, dan Perancis 11.

Laporan AFP 13 Feb melaporkan  beberapa buah kampung di Vietnam dengan sekitar 10,000 orang penduduk dikenakan perintah kuarantin selepas enam kes COVID-19 ditemui di sana.  

Sementara itu, laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

Kajian oleh sekurang-kurangnya 36 penyelidik dari hospital dan institusi perubatan di China itu mendapati kurang separuh daripada mangsa terbabit menunjukkan simptom dijangkiti virus itu apabila pertama kali bertemu doktor.

Ketua Penyelidik, Dr Zhong Nanshan, yang juga pakar epidemiologi China bertanggungjawab menemui coronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, dilaporkan berkata penemuan terbaharu itu membuktikan masih banyak yang belum diketahui mengenai COVID-19.

Jelas beliau, ketiadaan simptom demam itu lebih ketara bagi kes COVID-19 berbanding SARS dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).
LihatTutupKomentar
Cancel