Fokus banteras judi, dadah
KUCHING: Polis memberi fokus membanteras jenayah judi dan dadah yang menjadi kebimbangan penduduk di Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, sehubungan itu polis memerlukan maklumat yang berkualiti daripada masyarakat untuk membanteras kedua-dua jenayah tersebut secara menyeluruh.
"Justeru, saya menyeru semua lapisan pegawai dan anggota polis memainkan peranan mendapatkan maklumat-maklumat berkualiti terutamanya kegiatan judi dan dadah yang menjadi kebimbangan masyarakat pada masa ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perbarisan Selamat Datang Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawat, Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Jalan Badruddin, di sini, hari ini.
Aidi berkata, tindakan secara berterusan bagi membasmi dua jenayah itu juga perlu untuk mengelak tangapan negatif
masyarakat terhadap kewibawaan polis dalam membenteras jenayah tersebut.
"Masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah menjadi kebimbangan masyarakat kerana ia mendatangkan implikasi negatif kepada golongan belia di negeri ini selain cenderung melakukan jenayah," katanya.
Disamping itu, beliau juga mengarahkan semua Ketua Polis Daerah (KPD) di Sarawak menjalankan program kepolisan komuniti bagi meningkatkan lagi hubungan polis dengan masyarakat setempat.
"Semua KPD hendaklah memastikan program ini dijalankan di Ibupejabat Polis (IPD) dan balai-balai masing-masing. Program ini bukan sahaja menunjukkan kehadiran polis tapi bertujuan merapatkan lagi hubungan masyarakat dengan polis," katanya.